Tindakan Menteri Besar Selangor, Abdul
Khalid Ibrahim yang membelakangkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim berhubung
keputusannya yang menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan kerajaan
Persekutuan terus mendapat kecaman.
Terbaru ahli parlimen Pas dari kumpulan
‘Anwarista’, Dzulkefly Ahmad mempersoalkan keputusan mengejut itu dan meminta
Khalid untuk tampil memberikan penjelasan.
Sehubungan dengan itu, dia meminta
Kerajaan Negeri Selangor memberikan penjelasan berhubung syarat-syarat yang
terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani itu dan
meminta agar semua terma tersebut dijelaskan kepada para pemimpin Pakatan
Rakyat termasuk Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dia yang juga merupakan ahli jawatankuasa
Pas Pusat, seolah-olah tidak berpuas hati dan mempertikaikan rational di
sebalik langkah itu sambil menyifatkan ia berkemungkinan akan dibatalkan
sejurus selepas pilihan raya (PRK) Kajang tamat.
Terdahulu apabila diasak berulang kali
oleh pihak media, terpaksa menjelaskan, dia dan parti langsung tidak
dimaklumkan mengenai keputusan Khalid. Malah menurut penasihat ekonomi Selangor
itu lagi, dia masih mengkaji tindakan tersebut dan enggan membrikan sebarang
komen mengenainya.
Selain Anwar Timbalan Presiden PKR, Azmin
turut dilihat seperti mempertikaikan keputusan tersebut apabila ‘bersetuju’
dengan pandangan bekas Presiden, Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan yang meminta
agar keseluruhan terma MoU itu didedahkan.
Azmin melalui laman twitternya semalam,
menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Ambiga itu.
Bercakap kepada pemberita semalam, Khalid
menjelaskan dia tidak memberitahu Anwar dan partinya berikutan beberapa sebab
untuk memastikan bahawa pelaksanaan perjanjian itu adalah wajar dan mematuhi
tadbir urus korporat yang betul.
Khalid berkata, terdapat juga kebimbangan
bahawa sekiranya terdapat maklumat yang disalahgunakan, keseluruhan transaksi
akan dianggap sebagai tidak sah. Menurutnya lagi, dia mengambil langkah ke
hadapan untuk menandatangani MoU itu atas kapasiti sebagai pemimpin PKR yang
sudah mengetahui mengenai perjanjian itu sejak 2012 dan parameter transaksi itu
tidak pernah berubah.
Persoalannya, mengapakah Anwar dan para
‘pengikutnya’ begitu marah dengan tindakan Khalid itu? Sedangkan mereka sebelum
ini sering menggunakan isu ini untuk menekan Khalid dan menyalahkan kerajaan
bagi menimbulkan kemarahan rakyat.
Kesimpulannya mudah,
Anwar sebenarnya sedar tindakan Khalid yang ‘terburu-buru’ ingin menyelesaikan
masalah rakyat Selangor itu telah menyebabkan dia kehabisan modal untuk terus
menghasut masyarakat khususnya pengundi di Kajang agar membenci kerajaan.
Di masa yang sama, tindakan populis Khalid
ini bakal ‘merosakkan’ peluangnya untuk memaksa Menteri Besar itu meletakkan
jawatan sekiranya dia berjaya memenangi kerusi Dun Kajang.
Sedangkan sebagai seorang pemimpin yang
kononnya ‘suci’, Anwar sepatutnya bersetuju dengan keputusan Khalid yang mahu
isu air diselesaikan dengan segera. Bukankah ini membuktikan, Anwar sebenarnya
hanya mementingkan kepentingan politiknya semata-mata, dan bukannya meletakkan
kepentingan rakyat seperti yang sering di dakwa sebelum ini.
No comments:
Post a Comment