Biarpun PRK Kajang masih belum sampai ke peringkat penamaan calon,
jauh sekali ditetapkan tarikhnya, PKR telah lama berkempen. Boleh dikatakan parti itu telah mula
berkempen sejurus selepas ADUN Kajang Lee Chin Cheh meletakkan
jawatan. PKR
nampaknya begitu teruja dengan PRK ini memandangkan pemimpin nombor satunya
akan bertanding di situ.
Siang malam parti PKR berkempen lengkap dengan jadual ceramah di
sekitar Kajang walaupun ia melanggar undang-undang pilihanraya. Memandangkan, tempoh rasmi berkempen
bagi PRK Kajang hanya bermula bulan hadapan, maka semua aktiviti kempen yang
diadakan PRK pada masa ini adalah salah dari segi undang-undang.
Mengikut Akta Perhimpunan 2012 bagi kesalahan perhimpunan awam,
mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau
RM20,000 sekiranya membabitkan kanak-kanak. Mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya
pula, sesiapa yang disabitkan oleh mahkamah seksyen dan didenda RM5,000 akan
kehilangan kelayakan bertanding.
Malang bagi PKR kerana mempunyai pemimpin nombor satu yang tidak
tahu undang-undang. Malah,
keputusan PKR untuk mengadakan PRK Kajang dengan perletakan jawatan Lee Chin
Cheh juga dibuat atas dasar tidak menghormati undang-undang.
Pendek kata, keseluruhan proses PRK Kajang adalah bertentangan
dengan nilai dan peraturan moral mahupun sistem yang digunapakai oleh manusia
bertamadun. PRK ini dibuat
semata-mata untuk memuaskan nafsu Anwar Ibrahim yang mana adalah agak mustahil
untuk dilakukan kerana nafsu Anwar tidak pernah puas.
Hari ini, sebagai Ketua Pembangkang, Anwar sudah melanggar dan
mempermainkan undang-undang serta mengenepikan soal moral sesuka hatinya. Bayangkan jika beliau menjadi Perdana
Menteri, tentulah beliau akan meletakkan dirinya mengatasi undang-undang dan
tidak langsung terikat dengan apa-apa jua nilai moral lagi.
Tindakan Anwar kali ini mungkin agak terlalu ‘gila’ untuk diterima
oleh sekutu dan rangkaian PR yang lain. Melainkan
DAP yang memberi sepenuh sokongan kepada Anwar di Kajang, PAS nampaknya agak
‘segan’ untuk menyokong tindakan Anwar kali ini. Bagaimanapun, kita
percaya, marah PAS tidak lama dan parti itu akan tetap akur kepada Anwar dan
DAP akhirnya, sepertimana biasa.
Tidak seperti PAS, Majlis Peguam dan BERSIH pula nampaknya agak
tegas dalam menyatakan pendapat mereka mengenai PRK Kajang. BERSIH mempersoalkan perletakan
jawatan ADUN Kajang sesuka hati sebagai mengkhianati sistem dan kepercayaan
rakyat. Majlis Peguam pula hari ini mempersoalkan kempen PKR yang telah
berjalan sebelum tempoh berkempen. Menurut
Presidennya, Christopher Leong, “semua pihak perlu mematuhi undang-undang
pilihanraya yang memperuntukkan tempoh tertentu untuk berkempen”. Jelas, kenyataan itu ditujukan kepada
Anwar dan PKR.
Nampaknya, Anwar telah sedikit ‘keterlaluan’ kali ini sehingga
gagal mendapat sokongan Majlis Peguam dan BERSIH yang selama ini setia menjadi
alat kepadanya. Mungkin
keputusan Anwar untuk bertanding di Kajang dibuat dalam keadaan panik yang amat
sangat kerana terpaksa menghadapi Dato’ Shafee Abdullah dalam rayuan kes
liwatnya. Namun, mungkin juga Anwar mempunyai strategi lain.
Apapun, segalanya mungkin bila bercakap tentang Anwar.
Oleh itu, jangan sekali-kali kita terkejut jika bukan Anwar yang
bertanding di Kajang nanti kerana itulah berita yang didapati dari sumber
dalaman PKR buat masa ini.
No comments:
Post a Comment