Malaysiakini, Malaysian Insider dan beberapa lagi portal dan blog pembangkang terus cuba menyemarakkan isu JAIS merampas 320 Injil berbahasa Melayu dan Iban dari premis Bible Society of Malaysia (BSM) Khamis lalu. Beberapa artikel yang disiarkan di dalam portal tersebut cuba menggambarkan JAIS sebagai samseng kerana menendang pintu menyerbu dan merampas kitab-kitab Injil yang mengandungi nama ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan Kristian.
Apa yang portal pembangkang itu tidak sebutkan ialah tindakan JAIS itu adalah sejajar dengan Enakmen 1988 mengenai Kawalan Penyebaran Agama (lain) kepada Orang Islam di Selangor yang melarang bukan Islam menggunakan 35 perkataan Arab dan ungkapan dalam agama mereka termasuk ‘Allah’, ‘Nabi’, ‘Injil’ dan InsyaAllah’. Sehingga kini, enakmen ini tidak pernah dimansuhkan sekali gus menjadikan tindakan JAIS sebagai sah.
Pihak Kristian bagaimanapun, memberikan alasan bahawa penyebaran Injil Berbahasa Melayu dengan menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai merujuk kepada Tuhan Kristian itu adalah bertepatan dengan 10 persetujuan yang dicapai di dalam perbincangan pada April 2011. Perbincangan yang melibatkan pihak Kristian dengan beberapa Menteri di peringkat pusat, Dato’ Seri Idris Jala serta Peguam Negara itu, telah memutuskan bahawa setiap penerbitan Kristian berbahasa Melayu perlu meletakkan tanda salib dan nota bertulis ‘penerbitan Kristian’ di luarnya.
Jika ini benar, maka perbincangan itu wajar dipersoalkan kerana tidak turut melibatkan pihak yang mewakili Islam. Walhal, isu di sini ialah mengenai penggunaan hak sejagat Umat Islam yang ingin dituntut oleh Kristian, maka logiknya, badan-badan yang mewakili Islam perlu menjadi pihak utama untuk diajak berbincang. Adalah pelik sekali apabila badan-badan Islam tidak dirujuk mahupun dijemput langsung dalam perbincangan itu.
Nampaknya, yang menjadi ‘mangsa buli’ di sini ialah Islam, bukannya Kristian. Pihak Islam telah diketepikan dalam perbincangan tersebut dan hak Umat Islam ke atas kalimah Allah telah dirampas secara biadab dan tanpa sebab atau alasan yang konkrit.
Apa yang berlaku menunjukkan seolah-olah pihak Kristian telah dengan sengaja mencari gaduh dan menunjuk samseng terhadap umat Islam di Malaysia. Apabila JAIS bertindak berdasarkan undang-undang, pihak Kristian menuduh JAIS sebagai samseng dan kononnya membuli mereka pula. Soalnya, siapa yang buli siapa?
Rakyat Malaysia rata-ratanya cukup matang dan tidak mudah melatah dengan isu yang mampu mencetus ketegangan. Penganut Kristian di kalangan rakyat biasa juga tidak pernah ‘teruja’ dengan isu kalimah Allah di dalam kitab Injil berbahasa Melayu kerana mereka lebih selesa dengan Injil berbahasa Inggeris.
Penganut Kristian di kalangan Iban pula terlalu kecil dan tidak signifikan langsung untuk dibangkitkan sebagai isu di Semenanjung. Kaum Iban tertumpu di Sarawak di mana kegunaan kalimah Allah dalam aktiviti keagamaan Kristian tidak disekat oleh kerajaan. Oleh itu, kita lihat sebarang usaha untuk menjadikan pengharaman Injil berbahasa Iban dengan kalimah Allah di Semenanjung sebagai isu besar adalah sebenarnya berniat jahat. Apatah lagi dengan hakikat bahawa kaum Iban yang beragama Kristian juga ramai yang lebih selesa dengan Injil berbahasa Inggeris.
Jelas, satu-satunya pihak yang sengaja membesarkan isu kalimah Allah dan ingin terus mencabar undang-undang serta agama Islam adalah pembangkang melalui media mereka.
Selain pembangkang, pihak yang turut teruja memburukkan imej JAIS dan Islam ialah NGO yang membawa perjuangan liberal iaitu kebebasan tanpa had serta kesamarataan dalam beragama. Pihak ini langsung tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara, sekali gus menidakkan undang-undang dan perlembagaan.
Sejak akhir-akhir ini, kedua-dua pihak iaitu pembangkang dan NGO liberal ini dilihat mencuba sedaya upaya untuk mencetuskan ketegangan antara Islam-Kristian melalui berbagai cara. Modus Operandi mereka ialah menggerakkan laman-laman sosial peribadi untuk memperlekeh dan menghina Islam bagi mengundang tindak-balas. Apabila pihak berkuasa mengambil tindakan, mereka akan menuduh kerajaan Islam sebagai zalim dan berat sebelah.
Seterusnya, mereka memburukkan kerajaan dan undang-undang negara di peringkat antarabangsa dengan tujuan memberi tekanan agar undang-undang berlandaskan Islam dilonggarkan. Kononnya ia adalah bagi memastikan hak asasi setiap golongan di Malaysia terjamin dan tiada lagi diskriminasi.
Bagaimanapun, pihak ini mengambil pendirian untuk bersifat berat sebelah dalam isu Islam-Kristian sedangkan jelas bahawa pihak Kristian telah melanggar undang-undang. Seolah-olahnya pihak Kristian langsung tidak berbuat salah, dan yang salah itu hanyalah Islam dan Islam semata-mata.
Justeru, kita ingin bertanya kepada wakil NGO liberal iaitu Marina Mahathir yang begitu lantang membela Kristian dan menghentam JAIS dalam isu ini, apakah benar beliau memperjuangkan hak asasi manusia atau sebenarnya berjuang menentang Islam?
Isu kalimah Allah bermula tanpa alasan yang jelas. Selama ini rakyat Malaysia tenang dan aman mengamalkan kepercayaan masing-masing atas dasar saling menghormati. Tiada siapa yang mencabar sesiapa atau dengan sengaja menimbulkan ketegangan dengan ‘mencuit’ agama lain.
Rakyat yang rasional tertanya-tanya, sudah sekian lama menyebut ‘Father’ kenapa perlu ditukar kepada ‘Allah’? Mungkin Marina boleh membantu pihak Kristian menjawab soalan yang menyemakkan kepala kita ini.
Di samping itu, Marina juga mungkin boleh menjawab kenapa Marina tidak pernah mengherdik anak Cina DAP yang menghina nama Allah SWT dan Rasulullah di laman-laman sosial? Kenapa Marina tidak pernah mempersoalkan kenapa setelah mereka menghina Allah SWT, pihak yang sama bermati-matian pula ingin menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan mereka?
Sebenarnya, banyak lagi persoalan di kepala kita yang sehingga kini pihak Kristian dan Marina (NGO liberal) masih tidak dapat menjawab. Kita ingin sangat memahami kenapa Marina begitu berat sebelah? Kenapa Kristian suka mencari gaduh? Dan apakah Marina juga sudah terkena sindrom gila glamour atau sekadar gila?
No comments:
Post a Comment