KL CHRONICLE: Ku Li: Melayu gagal dalam ekonomi kerana tidak kompetitif #KLChronicle

Monday, December 23, 2013

Ku Li: Melayu gagal dalam ekonomi kerana tidak kompetitif #KLChronicle

Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan orang Melayu untuk menilai semula mengapa mereka gagal dan ketinggalan dalam aktiviti ekonomi berbanding merungut dan membuat tuntutan tidak munasabah.


Bekas menteri kewangan itu yang lebih mesra dengan gelaran Ku Li berkata, bilangan “key-personnel” daripada kalangan orang Melayu di sektor korporat menurun dengan sangat signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Beliau berkata, sementara Felda Global Ventures (FGV) yang diasaskan oleh Felda sudah berkembang luas dengan jumlah dagangan besar, orang Melayu dan Bumiputera masih gagal untuk menerajuinya.
Industri produk halal yang besar juga difahamkan dikawal oleh orang bukan Melayu/Bumiputera, dan sangat mendukacitakan apabila pemilik asal beberapa syarikat orang Melayu yang sudah berjaya akhirnya menjadi pekerja kepada pemilik syarikat yang baru.
“Perkembangan ini tidak ada kaitan dengan isu perkauman atau hak orang Melayu yang dinafikan, tetapi lebih merupakan masalah orang Melayu yang tidak mampu bertahan dalam saingan dan kesulitan alam perniagaan yang semakin kompleks,” kata veteran Umno itu semasa ucapan perasmian Persidangan Perkasa ke 4 di Pusat Islam, Kuala Lumpur hari ini.
Ku Li turut menggesa Perkasa memperjuangkan masyarakat Melayu Malaysia lebih berdisiplin, dilatih dan diberikan ilmu pengetahuan dan pendedahan.
“Ini membolehkan kita bertahan dan bersaing dengan siapa pun dan dalam keadaan apa pun dan dengan pelbagai peluang dan kemudahan serta bantuan, masyarakat orang Melayu dan Bumiputera tidak boleh menyalahkan orang lain kalau mereka masih tidak berjaya.
“Banyak yang boleh diperbuat untuk mengangkat dan memartabatkan orang Melayu dan Bumiputera yang sebahagian besar masih berada di strata bawah dalam struktur ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan aktiviti ekonomi berkelompok dan membolehkan Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi dengan lebih menyeluruh dan cepat.
“Sekiranya perkembangan ekonomi dipacu oleh daya pengeluaran yang meningkat dan rakyat menikmati pendapatan yang agak tinggi sama ada mereka ini petani, penangkap ikan, penoreh getah atau pekerja ladang dengan pelaksanaan gaji minimum dalam suasana bebas dan aman,” katanya. 
KLChronicle : Jangan pula masih salahkan kerajaan bila Melayu tidak maju. Pelbagai dasar dan polisi telah kerajaan lakukan tetapi jika sikap sendiri tidak berubah kerajaan pun tidak boleh buat apa-apa.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget