Seperti ada yang tidak kena, apabila portal dan blog pembangkang
begitu kecoh mempromosikan satu himpunan yang akan diadakan menjelang tahun
baru ini. Tidak ketinggalan para pencacai mereka turut menyebarkan poster,
risalah dan semua yang berkaitan dengan himpunan yang bakal diadakan itu.
Yang menghairankan ialah, mengapakah malam menjelang tahun baru
dipilih sebagai tarikh untuk mengadakan himpunan tersebut? Pelik bukan!
Namun apabila diteliti ia mungkin ada kaitan dengan beberapa
program himpunan yang tidak mendapat sambutan sebelum ini. Sekiranya kita imbau
kembali, sejurus selepas pakatan pembangkang GAGAL merampas tampuk pemerintahan
negara melalui proses pilihan raya umum ke-13 lalu, beberapa siri himpunan dan
demonstrasi jalanan telah diadakan.
Malangnya boleh dikatakan hampir kesemuanya GAGAL mendapatkan
sambutan seperti yang diharapkan. Sebagai contoh, demonstrasi jalanan #Black505
yang diadakan kononnya untuk membantah keputusan pilihan raya itu hanya mampu
mengumpulkan sekitar 10 ribu sahaja berbanding beberapa siri demonstrasi yang
diadakan sebelum ini.
Paling menarik, portal-portal yang menjadi lidah rasmi pembangkang
juga GAGAL memberikan angka sebenar jumlah orang ramai yang hadir pada himpunan
tersebut. Malaysiakini sebagai contoh mengatakan kehadiran adalah sekitar 20
ribu orang, manakala Harakahdaily melaporkan seramai 55 ribu dan diikuti dengan
Keadilandaily yang menganggarkan kehadiran sekitar 30 ribu orang.
Ketidakseragaman dalam menetapkan angka sebenar atau
setidak-tidaknya yang paling hampir itu membuktikan bahawa mereka sendiri
seakan tidak percaya dengan jumlah kehadiran pada program tersebut.
Tidak lama selepas, mereka turut menganjurkan himpunan yang
kononnya mewakili suara anak muda, untuk berhimpun di hadapan bangunan Parlimen
bagi membantah upacara angkat sumpah yang akan dijalankan.
Namun rata-rata di kalangan seakan terpedaya dengan sandiwara
pembangkang, apabila dimaklumkan bahawa Anwar turut mengangkat sumpah sebagai
ahli Dewan Rakyat, walaupun sebelum ini Ketua Pembangkang itu adalah merupakan
dalang utama yang menghasut rakyat agar menolak sistem demokrasi yang diadakan.
Pada satu ketika, dia meminta agar sistem demokrasi itu ditolak,
namun dalam masa yang sama dia tetap mengangkat sumpah. Paling menarik, sejurus
selepas upacara itu, kumpulan anak muda yang berkumpul di hadapan parlimen itu
dikejutkan dengan penyebaran gambar yang memaparkan Anwar sedang tertawa riang
ketika menghadiri majlis minum pagi bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat dan
Perdana Menteri.
Mungkin disebabkan rasa tertipu dengan sandiwara Anwar, mereka
yang berhimpun akhirnya mula bersurai seperti yang diarahkan oleh pihak
berkuasa.
Terbaru, pakatan pembangkang mengadakan satu lagi himpunan
kononnya bagi membantah kenaikan cukai taksiran yang diadakan di padang dataran
Dewan Bandar raya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut. Malangnya, program yang
diadakan itu sekali lagi GAGAL mendapat sambutan.
Pihak media melaporkan hanya sekitar 400 orang sahaja yang hadir
bagi menyokong isu yang dibawakan itu. Walaupun sebelum ini, pihak penganjur
begitu bersungguh-sungguh mempromosikan program tersebut dengan tujuan menarik
minat dan sokongan rakyat khususnya penduduk dan warga ibu kota.
Berbalik kepada isu yang dibangkitkan, mengapakah malam tahun baru
menjadi pilihan untuk mengadakan demonstrasi? Jawapannya mudah, pakatan
pembangkang nampaknya telah mula belajar dari kesilapan.
Mereka memilih malam tahun baru kerana, pada ketika itu ramai di
kalangan warga kota khususnya anak-anak muda akan hadir bagi meraikan sambutan
ambang tahun baru. Secara kebiasaannya mereka akan hadir beramai-ramai bagi
menyaksikan program-program yang telah diaturkan seperti persembahan muzik, beramai-ramai
mengira detik berakhirnya tahun 2013 dan disusuli dengan acara kemuncak
persembahan bunga api.
Dalam erti kata lain, sekiranya demonstrasi yang bakal diadakan
itu GAGAL mendapat sambutan, namun kehadiran ribuan masyarakat yang ingin
meraikan sambutan tahun baru dapat digunakan bagi menipu jumlah angka
kehadiran.
Ini kerana, mereka sedar semakin hari rakyat sudah mula muak dan
bosan dengan pelbagai isu retorik dan sandiwara yang sering dimainkan sebelum
ini. Malah mereka juga sudah mula menyedari perjuangan yang sering dilaungkan
oleh Anwar bukanlah untuk membela nasib rakyat, namun hanya untuk memastikan
impiannya bergelar Perdana Menteri tercapai.
No comments:
Post a Comment