Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat (gambar), berkata sayap parti Islam PAS itu masih belum berjaya membentuk Dewan Harian berikutan tidak mencapai kata sepakat untuk memilih siapa yang sesuai menjadi setiausaha.
Katanya, mesyuarat pertama Exco Pemuda PAS yang dipengerusikannya semalam berakhir tanpa melantik setiausaha, jawatan yang dianggap penting untuk menentukan keberkesanan sayap itu.
"Kita belum selesai lagi. Kita sambung semula 5 Disember ini," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas perkembangan terkini dalam Pemuda PAS.
Suhaizan menang dalam pertandingan sengit tiga penjuru untuk merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia menerusi Muktamar ke-59 baru-baru ini.
Beliau mendapat 320 undi mengalahkan lawannya, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzaman Mohamad yang mendapat 307 undi dan Zulhazmi Sharif yang mendapat tujuh undi.
Timbalan Ketua Pemuda PAS adalah Mohamad Khalil Abdul Hadi dan naibnya Khairul Nizam Khirudin.
12 Exco Pemuda PAS ialah Ahmad Hamimi Taib Azamuddin, Syed Abdul Kadir Syed Hussin al Jufri, Ahmad Fadhli Shaari, Mohd Shahrir Sulaiman, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, Zaharuddin Muhammad, Ahmad Yahya, Mohd Faizul Salleh, Mohd Fadhli Ghani, Mohd Zawawi Hassan, Nurul Islam Mohd Yusof dan Mohd Sany Hamzan.
Dewan Harian Pemuda PAS terdiri daripada ketua, timbalan ketua, naib ketua, setiausaha, bendahari, ketua penerangan dan ketua pengarah pilihan raya Pemuda.
Suhaizan dijangka menghadapi masalah ini bukan sahaja dalam mesyuarat semalam bahkan siri mesyuarat yang akan datang.
Dia dijangka disusahkan oleh 12 exconya dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Pemuda PAS baru walaupun menang berikutan perbezaan kumpulan dan pemikiran yang ada.
Menurut perlembagaan PAS, “Setiausaha, tidak lebih tiga Penolong Setiausaha, Bendahari, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Ketua Pemuda dengan persetujuan Mesyuarat Exco Dewan Pemuda PAS Pusat daripada ahli-ahli PAS atau daripada kalangan Exco Pemuda PAS Pusat”.
Ini bermakna, Suhaizan boleh melantik sesiapa sahaja yang dikehendakinya untuk membantu menguruskan Dewan Pemuda PAS Pusat tetapi hendaklah dilantik dalam mesyuarat dan mendapat persetujuan ahli mesyuarat.
No comments:
Post a Comment