KL CHRONICLE: #PemilihanUMNO : Kempen Bukan Sekadar Pengenalan Calon di Pentas #KLChronicle

Wednesday, October 9, 2013

#PemilihanUMNO : Kempen Bukan Sekadar Pengenalan Calon di Pentas #KLChronicle

HARI ini, anggota UMNO akan dapat mengetahui kedudukan muktamad siapa yang selamat untuk bertanding atau tidak. Masih ada lebih kurang seminggu untuk sayap dan dua minggu untuk peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi menjelang pemilihan UMNO pada 12 dan 19 Oktober ini. Ketika ini calon-calon yang bertanding sibuk berkempen memperkenalkan diri dari satu negeri ke satu negeri. Semalam, mereka yang menawarkan diri bertanding berada di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Bagi calon-calon yang berkesempatan, mereka berpeluang menunjuk muka kepada para perwakilan di tiga negeri itu manakala yang tidak berpeluang berbuat demikian terpaksa melupakannya. Mungkin sekadar menghantar ejen calon yang mengedarkan bahan-bahan yang boleh memperkenal atau mempromosi diri mereka.



Dalam tempoh berkempen ini, seperti yang dijangka sudah ada suara-suara yang menyatakan rasa tidak puas hati mengenai syarat berkempen untuk memperkenalkan diri. Ada yang berkata, kaedah sekarang adalah kerja buang masa. Bayangkan dalam satu hari, tiga negeri terpaksa dijelajah seperti berlaku semalam - mula-mula Kelantan, kemudian Terengganu dan pada sebelah malamnya Pahang. Kaedah yang ada iaitu sesi pengenalan calon yang dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri, mereka yang menawarkan diri bertanding hanya diperkenalkan di atas pentas tanpa diberi peluang untuk berucap menyatakan visi dan misi masing-masing di hadapan perwakilan. Mungkin disebabkan kesuntukan masa. Apabila selesai mengelilingi seluruh negara termasuk Sabah (kecuali Sarawak), maka mereka yang tidak ada sebarang jawatan hanya menunggu hari pemilihan. Ada yang bimbang tindak tanduk mereka berkempen secara sendirian mengundang bahaya terlanggar etika pemilihan. Silap haribulan nama mereka disingkirkan atau kalau menang, kemenangan dibatalkan. Sebenarnya, ramai calon yang masih keliru mengenai had mereka untuk berkempen.

Seperti yang diselak sebelum ini, biarlah mereka ini berkempen dengan apa cara sekalipun asalkan tidak melanggar peraturan parti atau memburukkan orang lain yang turut menawarkan diri untuk bertanding. Minggu lalu, Selak juga turut mempersoalkan bagaimana ruang untuk mereka yang tidak memegang sebarang jawatan mampu muncul dalam pelbagai media? Keadaan ini berbeza bagi calon yang mempunyai jawatan sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan pusat atau memegang jawatan lain yang boleh mencipta pelbagai aktiviti untuk mempromosi diri tampil bertemu pemilih sama ada secara langsung atau tidak langsung. Eloklah kempen untuk menyatakan visi dan misi diberi kelonggaran. Fokus utama yang perlu diberi perhatian ialah mengelakkan gejala politik wang dan kempen memburukkan orang lain. Apa yang penting elakkan ketirisan poket sepanjang berkempen. Inilah etika penting yang perlu dijaga iaitu menolak politik wang dan memburukkan orang lain.
Langkah memberi kebebasan berkempen yang ada batasannya ini diharap dapat memberi ruang kepada calon-calon yang kurang dikenali atau mungkin tidak dikenali berkempen menjelang pemilihan parti pada 12 dan 19 Oktober ini supaya perwakilan lebih mengenali mereka.

Perwakilan lebih mengenali mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menteri atau timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri atau exco kerajaan negeri. Begitu juga yang memegang jawatan dalam beberapa badan berkaitan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain. Tetapi berapa ramai yang mengenali calon-calon ini berbanding yang berstatus menteri, timbalan menteri, menteri besar atau ketua menteri? Jawatan juga khabarnya belum menjamin perwakilan mengenali calon berkenaan di samping isu yang dihadapi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan ketika menegur kaedah berkempen itu berkata: ‘‘Kalau tak boleh pergi sana, pergi sini dan tak dibenarkan untuk berjumpa, susahlah, lagi pun sekarang ini pemilihan daripada akar umbi. Kalau kita tak pergi jumpa akar umbi macam mana dia nak kenal Mohamad bin Haji Hasan, orang Tumpat tak kenal saya. Ini tak beri peluang kepada calon.’’ Itu rintihan seorang calon yang mempunyai kedudukan, apatah lagi bagi yang tiada apa-apa.

Semoga rintihan ini mendapat perhatian supaya demokrasi dalam UMNO diperkasakan serta menjadi contoh kepada parti lain semasa membuat pemilihan.

PERANAN MELAYU DALAM DAP

MASIH menjadi bualan mengenai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada minggu lalu. Cakap-cakap yang berlegar ialah berkaitan amaran DAP kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS), jumlah perwakilan yang tidak hadir, undi popular dan Melayu dalam DAP. Sudah ada laporan polis berhubung apa yang dikatakan ugutan terhadap ROS. Turut menarik perhatian ialah jumlah undi yang diperoleh hasil pilihan 1,725 perwakilan (1,663 undi sah, 62 undi rosak). Berkait isu jumlah undi ini menimbulkan persoalan siapa paling layak menjadi Setiasuaha Agung DAP. Seperti diketahui umum, mendahului senarai dalam kelompok 20 calon memperoleh undi tertinggi ialah anggota Parlimen Kluang, Liew Chin Tong yang mendapat 1,438 undi berbanding anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (1,304 undi) di tangga ke-5. Pada pemilihan Disember 2012, Chin Tong memperoleh 984. Ini bermakna jumlah undinya meningkat. Guan Eng pula mengalami kemerosotan apabila undinya jatuh sebanyak 272 undi. Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, di Kluang, daripada 75,308 undi yang dikeluarkan, Chin Tong mendapat 40,574 undi sementara di Bagan, daripada 59,796 kertas undi, Guan Eng memperoleh 46,466 undi. Ini angka berkaitan undi yang menarik perhatian.

Bagaimana pula undi untuk Melayu DAP? Lapan orang bertanding. Zairil, orang kuat Guan Eng terselamat di tangga ke-12 setelah memperoleh 1,132 undi. Beliau memperbaiki kedudukan berbanding 803 undi pada 2012. Melayu lain ialah Ariffin S.M Omar di tempat ke-28 (441 undi) berkongsi kedudukan dengan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ahmad Ton (351), Zulkifli Mohd Noor (220), Solaiman Op Syed Ibrahim (103) dan Harun Ahmad (87). Roseli Abdul Ghani yang menarik diri masih mendapat 61 undi berbanding pemilihan lalu memperoleh 69 undi. Bagi memenuhi kuota Melayu, Ariffin, anggota Dewan Negara kemudiannya dilantik sebagai salah seorang naib pengerusi. Begitulah kedudukan Melayu dalam DAP.



No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget