PEMILIHAN peringkat bahagian 19 Oktober lalu yang menyaksikan 57
daripada 191 bahagian mendapat ketua baharu menunjukkan kesungguhan akar umbi
untuk menukar kepimpinan bahagian masing-masing.
Sebilangan penyandang ketua bahagian memang telah mengorak langkah
sendiri memutuskan untuk berundur. Tetapi sebahagiannya ditolak oleh bahagian
sendiri.
Dengan perubahan kepimpinan bahagian - yang hampir mencecah satu
pertiga - menunjukkan langkah pembaharuan segera yang dilakukan akar umbi
sebagai respons kepada transformasi politik Presiden parti. Ini sekali gus
menunjukkan keberanian akar umbi akibat kesan lebih banyak perwakilan yang
seramai 146,500 orang mahukan perubahan.
Nampaknya kumpulan warlords atau 'demang politik'
gagal mempengaruhi proses pemilihan bahagian kali ini.
Orang UMNO sebenarnya sudah muak dengan perlakuan segelintir warlords ini.
Pada masa-masa lalu termasuk semasa pemilihan 2009 sehinggalah dalam penggal
'mereka' ini berkuasa, mereka dikesan membolot wang dan kuasa serta bertelagah
sesama sendiri.
Malah, lebih mengecewakan lagi, 'mereka' ini membolot peruntukan
yang disediakan jentera parti untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 setelah tidak
dipilih menjadi calon. Wang itu dikatakan 'disimpan' pula untuk kegunaan
bertanding dalam pemilihan parti.
Di beberapa negeri, akibat permainan 'warlords ini' natijahnya
amat besar, sehinggakan Barisan Nasional tersungkur. Malah, lebih teruk lagi
imej buruk BN itu dipalitkan kepada UMNO - 'terjelupuk' sehinggakan kaum Cina
pula 'cuak'.
Sabtu lalu di Selangor menyaksikan separuh daripada 22 ketua
bahagian bertukar. Langkah menampilkan barisan muka baru ini adalah dalam usaha
untuk menambat hati rakyat Lembah Klang yang kecewa dengan kepimpinan lama.
Kalau UMNO Selangor nak mendekati rakyat, inilah masanya dalam
tempoh empat tahun ini untuk berbuat demikian setelah persepsi tidak efektif
ditunjukkan hingga mengakibatkan BN di Selangor kini 'terkapai-kapai'.
Ketua-ketua bahagian di Selangor, kena ambil iktibar. Buangkanlah
masalah karektor. Semasa penulis mengetuai jentera pilihan raya akhbar ini di
Selangor Mei lalu, perlakuan-perlakuan sebeginilah terpaksa dihadapi penulis
dan rakan-rakan.
Tindakan jentera parti negeri 'menyembunyikan' data, fakta dan
statistik hanya untuk 'tatapan' orang atas, tidak mahu berkongsi idea dengan
media arus perdana yang bersedia membantu serta lagak 'angkuh' dengan
ketua-ketua bahagian sehinggakan media tidak dijemput langsung ke war
room di bangunan parti, harus dibuang.
Di Pulau Pinang, penulis dimaklumkan juga insiden sama berlaku.
Lebih teruk lagi semasa sedang sibuk jentera parti menyusun strategi pilihan
raya, ada ketua bahagian 'tidak turunkan' peruntukan.
Apa pun, warlords yang tewas peringkat bahagian,
tidak kiralah anda di Selangor atau di Seberang Perai, Pulau Pinang atau di
mana-mana sahaja, haruslah reda dengan hati terbuka menerima keputusan
perwakilan. Tunjukkan keikhlasan.
Di Selangor, tentunya harapan tinggi disandarkan kepada barisan
ketua bahagian yang baharu untuk merungkai masalah serta mencari segera formula
merampas kembali Selangor, yang sudah pun dua kali jatuh.
Hakikatnya, seluruh 191 ketua bahagian UMNO adalah enjin, nadi dan
jantung UMNO. Peranan mereka sebenarnya jauh lebih besar daripada kepimpinan
atasan.
Mereka inilah yang paling hampir dengan masyarakat setempat dan
tahu luar dalam masalah rakyat.
Tanggungjawab ketua bahagian berat dan besar dalam membantu Majlis
Tertinggi, Naib Presiden, Timbalan dan Presiden parti. Kalau jentera bawah
lemah, atas juga lemah. Jentera peringkat bahagian ini perlu benar-benar mantap
supaya dapat bergerak dengan efisien tanpa gangguan dalam bahagian, khususnya
daripada warlords.
Di sinilah ujian dan cabaran peringkat bawah atau akar umbi untuk
menterjemahkan ikrar Presiden dalam memastikan tidak ada lompang dan cacat cela
seperti pada masa lalu. Antaranya, salah guna kuasa dan kronisme.
Amalan transformasi perlu dijiwai dengan sikap yang bersih.
Integriti dan kewibawaan itu perlu dilonjakkan seiring sejalan
dengan kerja keras Presiden dan timbalannya.
Mana-mana pencabar ketua-ketua bahagian yang kalah perlu akur dan
reda.
Diharapkan, biduk lalu kiambang bertaut.
No comments:
Post a Comment