KL CHRONICLE: Calon MT sepakat Umno konsisten perjuang kalimah Allah #KLChronicle

Thursday, October 17, 2013

Calon MT sepakat Umno konsisten perjuang kalimah Allah #KLChronicle

Calon ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno sepakat berkata bahawa parti terbesar Melayu itu sentiasa konsisten  memperjuangkan kalimah Allah sekaligus menolak dakwaan BBC yang melihat keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin sebagai usaha Umno mendapatkan semula sokongan orang Melayu.


BBC atau British Broadcasting Corporation dalam ruangan komentarnya pada Isnin menyatakan keputusan Mahkamah Rayuan menghalang penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dilihat sebagai usaha Umno memenangi semula sokongan orang Melayu.
“Pendirian Umno jelas bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan selain daripada umat Islam dan perkara ini konsisten tidak seperti mana PAS yang banyak berdolak-dalih dalam isu ini,” kata penyandang jawatan dan juga calon MT, Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, keputusan yang diputuskan mahkamah tiada kena-mengena dengan Umno dan ia hanya menunjukkan mahkamah adalah institusi bebas kerana terdapat juga kes yang tidak berpihak kepada kerajaan.
“Setelah kerajaan berjaya dalam memfailkan rayuan, mengapa Umno pula hendak disalahkan? Ini adalah tanggungjawab kerajaan kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri tidak akan berkompromi dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.
“Kenyataan BBC tersebut tidak berasas kerana Umno jelas dengan pendiriannya untuk membantah dan pendirian ini bukan sesuatu yang baru sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi.
“Kami yakin orang Melayu Islam faham dan bersama Umno memperjuangkan isu ini kerana inilah yang diputuskan mahkamah,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Mohd Fuad berkata, keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin adalah satu keputusan bebas dan tidak berdasarkan kelebihan dalam puak majoriti mahu pun minoriti.
Katanya, BBC perlu membuktikan kes kaum minoriti cenderung kalah di mahkamah dan jika tidak dakwaan mereka satu tuduhan biadap dan tidak berasas.
Seorang lagi penyandang dan calon MT, Datuk Bung Mokhtar Radin, berkata beliau melihat keputusan kalimah Allah dikaitkan dengan perjuangan Umno adalah satu kebetulan kerana parti Melayu terbesar itu sendiri memang ditubuhkan untuk menegakkan agama, bangsa dan negara.
“Usaha Umno selaras memperjuangkan hak orang Melayu dan Islam kerana penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam sememangnya ditentang oleh umat Islam. Jika  dibenarkan, ia dibimbangi akan memberi kesan kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
“Apa jua dakwaan yang dilemparkan kepada Umno, inilah perjuangan kami. Saya ucapkan tahniah kepada pemimpin Umno kerana berjaya menegakkan syiar Islam,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, keputusan Mahkamah Rayuan tidak dipengaruhi oleh puak pelampau agama atau pengaruh rasisme kerana ini adalah realiti bahawa penganut agama Islam adalah majoriti maka jika kalimah Allah digunakan di gereja, ia akan mewujudkan satu ruang pilih kasih.
Katanya, gereja di Rom sendiri menggunakan istilah ‘God’ dan tidak menggunakan kalimah Allah, maka mereka perlu selari dengan apa yang diamalkan di Rom.
“Mengapa mereka yang bukan Islam pula mahu menggunakan kalimah Allah? Umat Islam lebih sinonim dengan kalimah itu kerana mereka menggunakannya dalam amalan hidup sehari-hari tetapi penganut Kristian hanya menggunakannya di dalam gereja.
“Di Sabah, bukanlah sesuatu hal yang besar kerana penganut Kristian di sana menggunakan istilah Tuhan Maha Esa dalam khutbah mereka dan tidak menggunakan kalimah Allah. Maka tiada impak yang begitu besar bagi penganut Kristian di Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang juga calon MT, berkata beliau melihat dakwaan BBC adalah satu hujah lapuk dan tidak menjadi isu pada masa kini.
Katanya, sememangnya wujud sikap toleransi di antara agama terutamanya di antara penganut Islam dan Kristian sejak sebelum kemerdekaan lagi namun apabila isu ini dibesarkan, sudah pasti akan ada pihak mempertahankan hujah mereka.
“Tidak dinafikan orang Melayu kaum majoriti di Malaysia dan tidak salah jika kerajaan lebih cenderung ke arah itu. Ia tidak menjadi masalah tetapi apabila isu ini dilihat dengan kaca mata yang lebih luas seperti di Indonesia maka satu stigma lain akan wujud.
“Apabila isu ini dibawa ke mahkamah maka keputusan harus dibuat,” katanya.
Azalina berkata, tahap toleransi dalam Umno lebih baik berbanding PAS dalam isu agama yang sedang hangat diperkatakan ini. – 16 Oktober, 2013.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget