Dalam kemeriahan Pemilihan UMNO yang bakal menjelang, pertandingan bagi jawatan Ketua Puteri UMNO dilihat tidak sehangat pertandingan bagi jawatan-jawatan lain, selaras dengan personaliti calon-calonnya yang tidak kontroversi. Tidak timbul soal ‘berebut’ atau ‘berdrama’ tetapi hanya satu pertandingan yang matang antara bakal pemimpin masa depan.
Pertandingan dua penjuru yang memperlihatkan ketertiban puteri-puteri UMNO ini, wajar dipuji dan dicontohi. Dua calon tersebut ialah Mas Ermiyanti Shamsudin dan juga Jamilah Hanim Othman.
Mas Ermiyanti dilihat mempunyai kelebihan besar berbanding lawannya memandangkan pengalamannya selama 12 tahun bersama Puteri. Kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah turut memainkan peranan besar dalam melebar dan memperkukuhkan pengaruhnya. Dengan pengalaman dan kedudukan tersebut, beliau tidak perlu lagi membuktikan sifat kepimpinannya kepada sesiapa.
Sebagai ‘orang lama’ juga, Mas turut mempunyai jaringan hubungan yang baik di berbagai peringkat termasuk wakil-wakil rakyat. Ini tentu saja meletakkan kedudukan Mas lebih jauh di atas berbanding lawannya.
Apatah lagi dengan hakikat bahawa lawannya, iaitu Jamilah Hanim Othman merupakan personaliti yang belum dikenali ramai. Jamilah adalah Ketua Puteri UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan.
Jika Mas Ermiyanti berazam untuk memastikan Puteri terus relevan dan dihargai dengan berbekalkan pengalaman, Jamilah pula membawa bekal semangat yang kuat untuk memantapkan pergerakan itu.
Jelas, kedua-dua mereka bertanding atas tujuan yang murni demi kesinambungan dan keteguhan pergerakan Puteri UMNO.
Walaubagaimanapun, tidak dapat dinafikan, pengalaman adalah sesuatu yang paling berharga dalam sesebuah kepimpinan. Semangat tanpa pengalaman mampu membuatkan kita tersasar tanpa sebarang panduan.
Justeru, walaupun kita menghargai kedua-duanya, kita menjangkakan Mas Ermiyanti akan menang mudah mengatasi Jamilah.
Jamilah pula wajar menjadikan pertandingan ini sebagai pengalaman dan pendedahan yang berharga bagi mengatur langkah yang lebih yakin dalam perjuangannya.
No comments:
Post a Comment