Beliau juga menegaskan, ketika menjadi Menteri Pelajaran, Akta Pendidikan 1996 diwujudkan menggantikan Akta Pelajaran 1961. Akta Pelajaran 1961 amat ditakuti kerana memberi kuasa penuh kepada Menteri Pelajaran untuk menukar sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kepada sekolah kebangsaan.
Akta Pelajaran 1996, memberikan signifikan amat besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) dan Sekolah Persendirian Cina (SPC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan yang bersifat kekal.
Sekadar makluman, selepas 1996, lebih banyak sumber kewangan diperuntukan pendidikan Cina. Pada masa itu, terdapat 78 sekolah menengah Cina yang memilih untuk mematuhi silibus dan pengajaran kerajaan dan ia menjadi SMJKC, manakala 60 lagi kekal sebagai SPC.
Ini tidak termasuk sejumlah hampir 1,300 SJKC yang diterima masuk sebagai sistem pendidikan kebangsaan. Bilangan SJKC terus bertambah setiap tahun melalui bantuan kerajaan sepenuhnya.
Akta 1996 yang lunak ini membolehkan kerajaan memberi bantuan kewangan, fiskal dan sumber perancangan kepada sistem pendidikan Cina. Namun, sedarkah kita bahawa akta ini juga ditentang oleh NGO Cina seperti Dong Jiao Zong, kerana mereka tidak mahu langsung sekolah Cina diganggu-gugat. Mereka mahu beroperasi dengan penuh kecinaan.
Najib turut menjelaskan kedudukan terkini permohonan pembinaan sekolah menengah persendirian Cina di Kuantan, Pahang seperti yang dituntut komuniti di kawasan tersebut. Syarat yang dikenakan adalah pelajar-pelajar ini wajib mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan jika pelajar mahu mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), itu terpulang kepada mereka.
Kerajaan juga menyediakan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk membangunkan SJKC di seluruh negara. Selain itu, kerajaan turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar terbaik UEC dan menyelesaikan segera isu kekurangan guru di SJKC. Itu pun masih ditentang kerana mereka mahu UEC diiktiraf sepenuhnya tanpa mengambil SPM.
Sebagai timbal balas, Perdana Menteri menaruh harapan melihat masyarakat Cina di negara ini fasih berbahasa Melayu. Persoalannya, bolehkah harapan Najib ini dipenuhi oleh komuniti Cina, terutama kumpulan ultra kiasu, setelah kerajaan memberi begitu banyak kemudahan dan begitu bertoleransi.
Tiada negara di dunia ini yang begitu bermurah hati dan bertoleransi seperti apa yang negara kita lakukan. Persoalannya, kenapa tidak dihargai? Apa jua cadangan kerajaan untuk penambahbaikan sekolah Cina adalah ditentang habis-habisan. Toleransi yang tidak ada tolok bandingnya ini masih lagi diterima.
Apa yang dimahukan oleh orang Cina? Apakah mereka mahu tinggal di pulau sendiri seperti Singapura dan sasaran mereka hari ini adalah Pulau Pinang.
Lebih memeranjatkan lagi, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan isu pendidikan dan kesaksamaan ekonomi, yang disebut sebagai road map, adalah daya penarik bagi menarik undi masyarakat Cina yang kebanyakannya kini beralih menyokong pakatan pembangkang. Road map yang dimaksudkan mengiktiraf UEC, seperti kerajaan mengiktiraf sijil dikeluarkan Kolej Tunku Abdul Rahman.
Selain itu, terdapat beberapa tuntutan utama lain yang mesti dipenuhi iaitu mengatasi masalah kekurangan guru di SJKC; menghalau keluar guru-guru bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak mempunyai kredit Mandarin dalam SPM, kesukaran permohonan pendaftaran ahli lembaga pengarah pengelola sekolah Cina, mencinakan penubuhan Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan, meluluskan penubuhan sekolah Cina persendirian Segamat, tambahan peruntukan pembangunan SJKC dan menyediakan rizab tanah sekolah Cina dan peruntukan yang diperlukan untuk membina sekolah.
Kata Saifuddin lagi, sekiranya isu-isu seperti itu berjaya diselesaikan, komuniti masyarakat Cina berkemungkinan besar akan kembali untuk menyokong kerajaan. Persoalan saya, jika semua tuntutan dipenuhi, identiti apa yang akan tinggal? Kita membina negara atau membina bangsa? Raikan bangsa majoriti atau minoriti?
Saya harap kerajaan buat audit akaun-akaun NGO-NGO ini termasuk PIBG dan sumbangan hartawan Cina kepada mereka. Percayalah, jutaan wang telah ditaburkan. Maka tidak hairan jika kemudahan sekolah Cina jauh lebih baik daripada sekolah kerajaan kerana sikap dermawan hartawan mereka. Perkara yang perlu difikirkan adakah pendidikan dan masa depan boleh dijual beli?
Jika semua tuntutan ini dipenuhi maka berlakulah proses pencinaan 100 peratus. Mereka lebih Cina daripada orang Cina di China. Ini tidak termasuk, proses pencinaan IPTS swasta yang hebat berlaku dan IPTS berasaskan parti politik perkauman.
Proses pencinaan berlaku daripada sekolah rendah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi. Jika semua ini terus dibiarkan berlaku, tidak ada ertinya nama Malaysia, kerana identiti Malay (Melayu) sudah tidak wujud lagi. Yang ada, hanya menonjol Chinesesia.
Hargai toleransi dan sikap murah hati PM. Ini tidak, mereka terus menerus mendesak kerajaan supaya terus mencinakan pendidikan Cina. Mereka langsung tidak memikirkan tentang bangsa majoriti yang semakin hilang identitinya semata-mata meraikan bangsa lain.
Sudahlah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak terdaulat. Hari ini sistem pendidikan tidak menyokong ke arah mendaulatkan bahasa kebangsaan. Peruntukan tahunan sudah menjadi sama rata. Di manakah maksud adil yang sebenarnya? Adil sudah tidak membawa makna meletakkan sesuatu pada tempatnya, tetapi sudah menjadi 1>1. Adilkah namanya?
Percayalah, jika orang Cina terus mengambil pendekatan tertutup yakni terus mencinakan sekolah Cina, lebih Cina daripada negeri Cina. Suatu hari ini orang Cina juga yang akan rugi dan menyesal. Mereka akan ketinggalan. Kecinaan yang keterlaluan tidak akan membawa keuntungan kepada orang Cina, kerana orang Cina tidak tinggal di lubuk sendiri.
Tidak salah menjadi "Cina pisang" sedikit, sebab kita berada di tempat orang, bukan tempat asal kita dahulu. Saya tidak langsung membantah, jika orang Cina mahu menjadi secina-cinanya jika mereka berada di negara China.
Tetapi hari ini kita berada di Malaysia. Negara yang majoritinya adalah Melayu dan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Bahasa untuk orang Cina berinteraksi dengan orang Melayu adalah bahasa Melayu. Bahasa perpaduan dan integrasi adalah bahasa Melayu.
Mustahil orang Melayu akan berkomunikasi dalam bahasa Cina dengan orang Cina. Itu pun orang Melayu sanggup korbankan lenggok dan gaya bahasa Melayu semata-mata meraikan orang Cina.
Janganlah kerana tidak mahu menjadi Cina pisang, kita turut mahu mencinakan negara ini. Sikap seperti tidak akan membawa kepada pembinaan negara bangsa yang sihat. Tetapi hanya akan menambah luka yang sedia ada. Mungkin ketika itu pemimpin NGO Cina yang ultra kiasu ini, sudah tidak ada lagi. Tetapi yang akan menjadi mangsa adalah generasi yang akan datang.
Saya langsung tidak anti Cina, sebab saya juga adalah Cina. Tidak salah jika kita menjadi Cina pisang atau kita tidak rugi sedikit pun jika kurang sedikit kecinaannya, kerana kita sudah dapat yang sepatutnya. — Utusan Malaysia
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment