KUALA LUMPUR, 2 Sept — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mempesoalkan tindakan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat sewaktu Sambutan Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri malam Khamis lalu.
Dipetik Sinar Harian, Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata tindakan oleh PR Selangor itu menimbulkan tanda tanya kerana Anwar tidak menjawat sebarang kedudukan tertinggi di peringkat negeri, sebaliknya hanya bertindak selaku Penasihat Ekonomi negeri.
"Tuanku Sultan melahirkan rasa pelik mengapa Anwar yang tidak berada dalam jawatan tertinggi negeri menjadi tetamu kehormat. Beliau tidak memegang sebarang portfolio rasmi kecuali sebagai Penasihat Ekonomi.
"Kebiasaannya kalau Tuanku tidak dapat hadir dalam program rasmi negeri, Menteri Besar akan menggantikan baginda untuk memberi ucapan," katanya dan menambah, "tetapi mengapa Anwar yang dijemput, ini program rasmi, bukan politik."
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam turut menegaskan, tindakan kerajaan PR Selangor itu yang tidak menjemput Sultan ketika sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Shah Alam bukanlah satu tindakan yang mengejutkan.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri itu juga lebih menghormati Anwar yang tidak mempunyai "locus standi" berbanding Sultan Selangor.
"Soal tidak hormat Sultan Selangor bukan mengejutkan kita ... mereka lebih hormat penasihat ekonomi yang tidak ada locus standi," tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu ketika Majlis Rumah Terbuka BN Selangor semalam.
Tambah Najib, Sultan adalah simbol kepada perpaduan dan kedaulatan negeri dan seharusnya baginda diberi penghormatan.
Namun tindakan PR itu adalah bukti kepada banyak perkara yang cuba diubah dan dilakukan PR, namun tidak berjaya disebabkan Putrajaya masih lagi di bawah penguasaan BN.
"Baginda adalah simbol kepada negeri yang perlu kita hormati," katanya lagi.
Sent by DiGi from my BlackBerry® Smartphone
No comments:
Post a Comment