KL CHRONICLE: Netizen semakin menyampah dengan sikap hipokrit "Ahli Politik"

Monday, March 7, 2016

Netizen semakin menyampah dengan sikap hipokrit "Ahli Politik"


"Kesan utama Deklarasi Rakyat yang ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad dan pembangkang ialah kepenatan rakyat terhadap karenah para ahli politik mula dirasai ramai.

Dengan menggunakan alasan berbunga-bunga seperti 'demi rakyat', 'demi masa depan negara', 'demi menentang kezaliman', para ahli politik berdrama dalam bermusuhan dan persahabatan serta berselindung di belakang agenda bersama untuk mengejar cita-cita mendapatkan kuasa dan nama yang tidak pernah padam di dalam jiwa binatang politik.



Hari ini, para ahli politik negara berkempen agar rakyat 'tidak mengundi pihak tertentu' menggunakan persepsi, pendedahan dan selebihnya dengan menanam perasaan benci pada lawan politik.

Mereka tidak lagi menjawab persoalan mengapa rakyat perlu mengundi mereka – hanya inginkan rakyat tahu mengapa mereka tidak harus mengundi pihak lawan.

Pelbagai alasan digunakan untuk memburukkan lawan politik sehinggalah ia tersemat di sanubari rakyat ketika lawan politik ini menjadi penghalang kepada kuasa dan nama yang ingin dikecapi mereka.

Apabila lawan politik boleh dijadikan batu loncatan kepada kuasa dan nama yang ingin dikecapi mereka, para ahli politik pula berusaha menyucikannya.

Lihatlah Dr Mahathir. Siapa yang menggelarnya 'ketua perompak', 'mahafiraun', 'mahazalim' dan sebagainya sehinggakan jasa beliau terhadap negara juga dilanyak kalau bukan pembangkang?

Kini pembangkang yang ingin mendampingi Dr Mahathir kerana kelantangannya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula cuba menyucikannya.

Ada seorang ahli politik berkata beliau tidak pernah marah pada Dr Mahathir sambil lupa mengira berpuluh kenyataan mengkritik yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Ada seorang pula yang 8 bulan lepas menggelar Dr Mahathir sebagai ketua perompak tampil berkata boleh bekerjasama kerana beliau adalah orang zalim yang pencen.

Bukan itu sahaja, ada seorang lagi ahli politik yang melancarkan 'langkah kijang' kononnya kerana beliau bimbang Najib akan dipecat dan kepimpinan Umno jatuh ke tangan puak ultra berkiblatkan Dr Mahathir – kini membuat cerita terbalik dengan cubaan meyakinkan rakyat mengapa kerjasama Dr Mahathir perlu dilakukan untuk menyelamatkan negara daripada Najib.

Ada pula seorang ahli politik yang sebelum ini hebat menyindir PAS kononnya sanggup percaya pada Umno untuk melaksanakan hudud tiba-tiba begitu yakin dengan janji Dr Mahathir yang turut ditandatangani Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal dalam Deklarasi Rakyat untuk melaksanakan agenda reformasi.

Namun tidak sampai sehari, niat sebenar di sebalik Deklarasi Rakyat didedahkan Mukhriz – ia hanyalah bertujuan menggantikan Najib dengan pemimpin Umno-Barisan Nasional (BN) lain tanpa menyebabkan BN kehilangan kuasa.

Mendengar kata-kata ini, cuba fikir apakah agenda reformasi yang tertera dalam Deklarasi Rakyat akan tercapai dengan BN masih berkuasa dan bermaharajalela di Parlimen?

Apabila Dr Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie balik ke pangkuan Umno, apakah mereka sanggup melawan Umno dengan melaksanakan agenda Deklarasi Rakyat diminta oleh mereka yang melawan Umno-BN?

Ada yang berhujah selepas Najib ditumbangkan, Umno akan huru-hara kerana kem Muhyiddin akan berlawan dengan kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi?

Ini jenaka apa? Apakah Umno masih akan membiarkan Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz kekal sebagai ahli Umno jika Najib betul-betul sudah tergugat? Jadi, apa yang huru-haranya?

Cukuplah setakat ini. Penulis percaya ramai yang sudahpun letih dengan drama politik ini…

Hari ini mereka melawan Najib habis-habisan, tapi percayalah satu hari nanti, mereka akan menjulang Najib pula kalau beliau menjadi musuh kepada musuh mereka.

Asalkan membawa keuntungan politik kepada mereka, apalah sangat derma RM2.6 bilion ini, kan? Semua boleh dilupakan, dipadam dan bukan itu sahaja, malah mereka bakal digelar sebagai ahli politik berjiwa besar.

Yang kesiannya ialah kamu yang menyokong mereka selama ini dan kerana kamu tidak bersetuju dengan sifat hipokrit mereka, kamu akan digelar musuh.

Manakala orang yang pernah menzalimi pula digelar sebagai sahabat kerana beliau sudah pencen. Inilah undang-undang rimba binatang politik Malaysia." - Timmy Say, 7 Mac, 2016 #tmi_voices

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget