KL CHRONICLE: SPAD Umum Perpindahan Operasi Bas Ekspres Koridor Utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bandar Tasik Selatan

Tuesday, October 20, 2015

SPAD Umum Perpindahan Operasi Bas Ekspres Koridor Utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bandar Tasik Selatan

Semua operasi bas ke Utara akan berpindah ke TBS bermula 1 November 2015
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada hari ini mengumumkan perpindahan operasi Bas Ekspres Koridor Utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) berkuatkuasa 1 November, 2015. Ini merangkumi perjalanan ke negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.



Keputusan bagi perpindahan dari Pudu ke TBS dilakukan selepas perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan pihak Pengendali Bas yang terlibat. Selain daripada menawarkan keselamatan dan keselesaan yang lebih baik, perpindahan operasi ke TBS akan dapat mengekang aktiviti ulat tiket yang berleluasa di Pudu Sentral.

Dengan perpindahan ini, sebanyak 545 dari 635 bas ekspres koridor utara yang beroperasi di Pudu Sentralakan dialihkan daripada pusat bandar. Ini akan membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang dialami oleh pengguna di kawasan sekitar Pudu Sentral dan dalam jangkamasa panjang akan mengurangkan kesesakan yang masuk ke dalam daerah pusat perniagaan di dalam bandaraya

TBS mempunyai kemampuan bagi menampung operasi bas ekspres menghala ke utara secara cekap dan teratur. Ia mempunyai kemudahan terkini dan salinghubung yang lebih baik ke pusat bandar dengan tertumpunya pelbagai mod pengangkutan di dalam satu lokasi seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi. TBS dilengkapi dengan paparan maklumat elektronik yang menyenarai kedatangan dan pelepasan bas serta mempunyai sistem tiket berpusat. Ini menyokong polisi toleransi sifar terhadap ulat tiket.

Sementara itu, Pudu Sentral akan terus digunakan sebagai terminal bas ekspres jarak dekat dan bas henti-henti; ini termasuk perjalanan daripada Pudu Sentral ke Tanjung Malim, KLIA 1, KLIA2 dan Seremban. Pudu Sentral juga akan memainkan peranan penting sebagai Pusat Transformasi Bandar(UTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada kerajaan dan sektor swasta kepada rakyat.

Untuk maklumat lanjut sila layari www.spad.gov.myatau hubungi Hotline SPAD di 1-800-88-SPAD (7723).

-      End -

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget