KL CHRONICLE: Sembang kencang, pembangkang berjanji pula had jawatan dua penggal pancing undi #kltu #jbtu

Wednesday, March 7, 2018

Sembang kencang, pembangkang berjanji pula had jawatan dua penggal pancing undi #kltu #jbtu


Hari ini negara dikejutkan dengan dengan satu keputusan yang disifatkan hipokrasi tahap tertinggi, Pakatan Harapan yang diketuai DAP mengumumkan kononya mereka bersetuju supaya jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar dihadkan hanya kepada dua penggal sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perkara itu turut diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam sidang akhbar pagi ini. Ironinya, Lim Guan Eng sudah dua penggal menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. 

Lebih pelik lagi, Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini beberapa kali menolak usul di Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya jawatan Ketua Menteri dihadkan hanya kepada dua penggal.


Siapa yang boleh melupakan nasib diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang dipulaukan oleh kerajaan negeri dan parti sendiri kerana berkeras membawa usul itu ke sidang DUN.

Setiap kali sesi baharu sidang DUN Pulau Pinang bermula, setiap kali itulah wakil rakyat DAP berkenaan cuba membawa usul itu namun tidak penah diterima untuk dibahaskan.

Jadi, mengapa secara tiba-tiba Pakatan Harapan yang diketuai DAP mencadangkan supaya dihadkan jawatan tertinggi itu dalam manifesto PRU-14 mereka?

Jawapannya tidak lain hanya kerana mahu menabur janji palsu kepada rakyat sebagai gula-gula menjelang PRU-14.

Jika pembangkang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu mengehadkan jawatan tertinggi dalam kerajaan mahupun parti, usaha itu sudah lama mendapat sokongan dan dilaksanakan di Pulau Pinang iaitu di negeri yang dikuasai mereka.

Lebih memalukan apabila manifesto mengehadkan jawatan itu pula hadir dengan bersyarat iaitu dikira hanya selepas PRU-14.

Ini bermakna, sekiranya Pulau Pinang masih kekal dikuasai DAP selepas PRU-14, Guan Eng masih boleh menjadi Ketua Menteri meskipun sudah dua penggal memegang jawatan itu sejak 2008.

Alasannya kerana perlu mewajarkan pencalonan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang PRU-14 memandangkan Pengerusi Pakatan Harapan berkenaan sebelum ini pernah memegang jawatan tersebut.

Pembangkang mungkin terlupa idea mengehadkan jawatan penting itu pernah wujud ketika era pemerintahan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri namun ditolak dengan alasan dua penggal terlalu singkat untuk seorang pemimpin melaksanakan misi pentadbirannya.

Natijahnya, Dr. Mahathir kekal memerintah sebagai Perdana Menteri selama kira-kira 22 tahun.

Apakah pembangkang beranggapan rakyat tidak boleh memikirkan manifesto seperti itu sebenarnya hanya strategi untuk mempertahankan kuasa sedia ada?

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget