Wednesday, September 13, 2017

@Razlanrafii : Judi, Cabaran Ketua Polis Negara yang baru #Negaraku #Malaysia


13 Sept 2017
CABARAN KETUA POLIS NEGARA YANG BARU

Judi - Nekad Kepala Kepolisian Indonesia

Kalau kita berjalan di kota Jakarta, Bandung, Surabaya, Bali ataupun di Jogjakarta malah ke seluruh pelusuk negara Indonesia hari ini, ternyata tidak kelihatan kegiatan judi. Baik mesin judi ataupun judi sabung ayam yang mana suatu ketika dahulu sebelum tahun 2004 ianya dilihat begitu berleluasa di negara republik tersebut. Pada ketika itu, hanya kedengaran cerita mengenai cerai berai di kalangan suami-isteri, pergaduhan terbuka, wang gaji yang diperolehi habis di premis dek kerana gila judi. Malahan ada banyak cerita kegilaan judi ini membawa kepada bencana insan yang amat teruk.


Ada satu kisah di kalangan rakyat Indonesia mengenai ‘serangan’ terhadap gejala judi ini secara besar-besaran oleh Ketua Polis Negara itu sekitar tahun 2004. Sutanto terkenal dengan ketegasan beliau memerangi gejala judi semasa menjadi Ketua Polis di Medan. Disebabkan beliau mempunyai tekad untuk membersihkan judi di daerah tersebut, pemilik premis judi menjadi tidak keruan dan bimbang dengan gerakan penguatkuasaan dari pihak Polis. Maka pemilik-pemilik premis judi telah berpakat mendesak kepimpinan tertinggi Polis agar memindahkan beliau dari Medan dan dipindahkan ke Department yang kurang penting.

Namun pada tahun 2004 apabila Susilo Bambang menjadi Presiden Indonesia, beliau telah melantik Sutanto sebagai Ketua Polis Indonesia. Perkara pertama Sutanto lakukan adalah bertekad untuk membersihkan negara tersebut dari gejala judi. Maka pelbagai arahan memerangi judi secara besar-besaran ke seluruh negara bermula sehingga ke akhirnya hari ini dek kerana keberanian dan tekad beliau, Indonesia telah bebas dari kegiatan judi yang sebelum ini dilihat amat berleluasa.

Di Malaysia, pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk memerangi kegiatan judi tapi kerap menemui jalan buntu. Bila operasi diadakan, maka premis tersebut tutup buat masa seminggu hingga dua minggu. Ada yang tidak sampai 24 jam diserbu, beroperasi kembali. Lagi bertambah pelik dan pernah dipaparkan melalui media massa dan media sosial, premis judi hanya beberapa meter daripada Balai Polis dan Pejabat Majlis Perbandaran atau pihak berkuasa tempatan. Boleh diibarat, tiada siapa ‘ketuk’ (lapor) maka tiadalah penguatkuasaan. Di sini premis judi boleh beroperasi secara bermaharajalela seolah-olah Malaysia tidak mempunyai undang-undang khusus terhadap perkara judi ini. 

Pergi sahaja di premis-premis ‘isitrehat’ snooker, sudah pasti akan ada mesin judi yang terletak secara tersorok atau secara terang-terangan. Asal ada saja kawasan rumah kedai baharu, akan wujud premis judi yang baru. Seolah-olah mereka mempunyai kuasa yang tidak boleh diganggu gugat. Lebih membimbangkan terdapat premis judi di kawasan taman perumahan beroperasi sehingga berpuluh tahun tanpa sekatan. Dibimbangi anak-anak kita yang sedang membesar ini bakal terjerumus ke dalam kancah perjudian yang akhirnya akan menimbulkan pelbagai kekacauan dan permasalahan di kalangan masyarakat. Tambahan lagi hari ini, terdapat iklan di dalam telefon pintar terdapat program berjudi secara dalam talian. Ini lebih membimbangkan.

Pelbagai formula telah dirangka dan digerakkan untuk membersihkan Malaysia dari gejala judi ini, tetapi begitulah juga pengakhirannya apabila timbul pelbagai alasan yang kadang-kadang dirasakan tidak perlu dikongsikan bersama masyarakat. Rakyat tak nak lihat sikap tuding menunding jari dari pihak penguatkuasa ini kepada penguatkuasa itu dan terus menuding kepada syarikat bekalan elektrik dan kepada jabatan atau agensi kerajaan. Pengakhirannya penguatkuasaan tidak berjalan seperti diinginkan.

Ini merupakan cabaran kepada setiap ketua agensi penguatkuasaan yang memegang kuasa seperti Polis, Imigresen, Datuk Bandar, PBT, TNB, SKMM dan lain-lain yang terlibat memegang kuasa. 

Mungkin Malaysia tak perlu Ketua Polis Negara seperti Sutanto tetapi sekurang-kurangnya Ketua Polis Negara kita kena aktif memerangi premis dan aktiviti judi ini. Wajib diharamkan dan dijauhkan daripada masyarakat kerana bahana daripada judi ini amat teruk terutama kepada institusi kekeluargaan itu sendiri. Rakyat masih menunggu kelahiran jaguh negara yang berani menghapuskan judi haram secara mutlak. Beranikah Tan Sri Mohamad Fuzi Harun?


Bersama serangi judi.

DATUK HJ. MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Ketua Pemuda Barisan Nasional Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment