KUALA LUMPUR, 18 Januari – Bergandingan dengan CAKNE-PPUKM dan Muslims Clown Malaysia, Rapid Rail Sdn Bhd hari ini menganjurkan program bersantai amal bersama-sama dengan 55 badut bagi menyuntik keceriaan di kalangan para pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.
Program ‘SMILES 4 CAKNE’, yang disokong oleh para sukarelawan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), menyaksikan badut-badut berkenaan membuat persembahan di stesen-stesen LRT Masjid Jamek dan KLCC sebelum diakhiri di Stesen KL Sentral.
Berkumpul di Stesen LRT USJ7 sebelum bergerak ke ketiga-tiga stesen berkenaan, badut-badut itu tidak melepaskan peluang untuk menceriakan para penumpang di dalam tren dengan aksi-aksi spontan yang melucukan dan memukau penonton.
Semasa persembahan, kutipan derma dijalankan bagi mengutip derma CAKNE untuk menyokong program-program dan aktiviti persatuan berkenaan dalam membantu para pesakit kanser di kalangan kanak-kanak dan keluarga mereka.
Untuk Rapid Rail, selain daripada menyokong usaha-usaha murni kemasyarakatan, Program ‘SMILES 4 CAKNE’ ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan oleh pengendali rel urban itu untuk menyuntik keceriaan dalam stesen.
Anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Rapid Rail mengendalikan operasi ketiga-tiga Laluan LRT negara – Laluan Ampang, Laluan Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan juga menjadi operator kepada perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.
Sebagai operator yang berwawasan tinggi, hasrat Rapid Rail bukan saja untuk memastikan perkhidmatan rel urban yang selamat, selesa, memudahkan dan berpatutan, tetapi juga memastikan para penumpang merasa gembira dan seronok menggunakan perkhidmatan kami.
Justeru itu, selain menyediakan pelbagai kemudahan di dalam dan sekitar stesen seperti kedai-kedai serbaneka, kedai makanan, perkhidmatan bank dan ATM, Pos Laju dan Kedai 1Malaysia, Rapid Rail sentiasa menganjurkan program-program dan aktiviti untuk menceriakan para penumpang semasa menggunakan perkhidmatan kami.
Pada majlis penutup yang diadakan di Stesen LRT KL Sentral, Rapid Rail diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Ir Zohari Sulaiman manakala CAKNE – PPUKM diwakili oleh Koordinatornya, Tn. Hj. Mohd Shah Awaluddin dan MCM oleh Koordinatornya, Awang De Clown.
TAMAT
No comments:
Post a Comment