Tan Sri Muhyddin Yassin & Tun Dr Mahathir Mohammad merupakan pemimpin tertinggi parti UMNO suatu ketika dahulu. Mereka lahir dan mencipta nama melalui UMNO.
Muhyiddin mendakwa UMNO sekarang seperti kereta buruk. Bila dibaiki rosak lagi, maka perlu ditukar kereta baru. Tak habis-habis lagi beliau mengeji parti yang telah banyak berjasa kepada dirinya ini.
Ini lah manusia yang gagal di dalam mendidik dan memimpin lalu menyatakan kesalahan terhadap parti yang memberikan kedudukan, jawatan, dan kemewahan yang diangkat oleh tiga juta ahli-ahli UMNO sebelum ini.
Muhyiddin perlu ingat bahawa beliau seorang anak kampung dan sudah berapa ramai anak-anak luar bandar yang telah menikmati hasil keringat perjuangan UMNO selama ini. Begitu juga nelayan dan petani yang terus dibantu tanpa henti. Termasuk juga anak-anak di dalam bandar yang tidak dilupakan untuk dibantu.
Manusia seperti Muhyiddin dan Tun Mahathir tidak akan hidup selesa dan disambut berbentangkan karpet merah sekiranya tidak mempunyai jawatan penting di dalam UMNO sebelum ini.
Bahkan seluruh keturunan beliau menikmati hasil daripada perjuangan UMNO. Barangkali mungkin sehingga tujuh keturunan tidak akan habis dibelanjakan hasil yang mereka miliki semasa berjawatan di dalam parti.
Sebagai anak muda dalam parti ini, saya ingin menasihatkan orang-orang seperti ini agar cuba belajar mengenang jasa-jasa UMNO. Apatah lagi ucapan ini kerap kita dengari dari mulut mereka semasa berada di atas pentas.
Sekiranya mahu bertanding melawan UMNO maka bertandinglah dengan sihat. Jika mahukan kemenangan, tunjukkan apa yang diperjuangkan dan apa yang hendak diberikan kepada rakyat Malaysia, bukanya berjuang dengan mencari kesalahan orang.
Kemenangan mencari kesalahan tanpa ada dasar perjuangan ibarat tin kosong. Menghasut orang membenci tanpa ada formula untuk mentadbir dengan baik adalah kegagalan diri sendiri. Kalau ada formula yang hebat dalam dasar urus tadbir Malaysia dengan lebih baik, bentangkan dan jangan hanya pandai menyalak dan menunding jari sahaja.
Saya ingin ingatkan kepada Muhyiddin dan sekutunya yang telah hidup mewah hasil dari memegang jawatan dalam UMNO suatu ketika dahulu, buat keputusan yang lebih matang atau sekurang-kurangnya cubalah 'berlakon' jadi bijak.
Satu jari menunding, empat jari lain menunding semula ke arah kamu.
MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment