KUALA
LUMPUR, 10 Mei - Berbekalkan pengalaman tahun pertama mengendalikan operasi Al
Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Mekah pada musim haji
lepas, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berazam untuk menyediakan
perkhidmatan yang lebih mantap pada musim haji tahun ini.
Persiapan
dijalankan secara berperingkat sejak akhir tahun lepas berdasarkan urutan masa
atau ‘time-line’ yang dirangka bersama-sama dengan pihak berkuasa Arab Saudi
bagi memastikan kelancaran operasi MMMSL, yang dijadualkan pada September ini.
“Seperti
yang kita sedia maklum, operasi sebenar perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah
Metro ini adalah untuk tujuh hari sahaja. Tetapi, persiapan yang kami lakukan
adalah berterusan sepanjang tahun berdasarkan jadual kerja yang telah
ditetapkan”.
“Ini
termasuk operasi pra-percubaan atau ‘pre-trial’ selama 30 hari sebelum operasi,
percubaan atau ‘trial’ selama 60 hari dan Pelan Tindakan Kecemasan atau ERP
(Emergency Response Plan), yang telah kami rancangkan pada 1 September ini.
“Ini
adalah projek yang prioriti untuk kami di Prasarana khususnya PRIME (Prasarana
Integrated Management & Engineering Services), yang kini sedang membuat
bidaan untuk beberapa projek-projek lain di Timur Tengah sebagai inisiatif
untuk meningkatkan hasil untuk Kumpulan Prasarana dan membuka pintu untuk
syarikat-syarikat Malaysia yang lain,” kata President dan Ketua Pegawai
Eksekuttif Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk operasi musim
haji 2016 ini, perkhidmatan MMMSL akan bermula pada pada 8 September, yang
bersamaan dengan 7 Zulhijjah, dan berakhir pada 14 September ataupun pada 13
Zulhijjah. Menggunakan 15 tren 12-gerabak, perkhidmatan MMMSL akan mengendalikan
lebih 350,000 penumpang sehari khususnya pada dua hari kemuncak haji pada 9 dan
10 Zulhijjah.
Kata Dato’ Azmi:
“Ketika tempoh operasi itu, kami akan mempunyai lebih 7,000 orang petugas
termasuk kira-kira 400 rakyat Malaysia khususnya daripada Prasarana dan
anak-anak syarikatnya”.
“Operasi dan
perkhidmatan tren pada masa itu akan berjalan secara berterusan selama tempoh
tujuh hari dengan setiap orang daripada mereka yang bertugas di sana akan
bekerja lebih masa dan sentiasa dalam keadaan bersedia atau ‘stand-by’. Ketika
itu, para pegawai dan staf Prasarana akan ditempatkan di semua stesen dan di
kawasan depoh.
“Insya Allah, tahun
ini Prasarana dapat membuat persiapan awal di samping mempunyai pengalaman
mengendalikan perkhidmatan tahun lepas. Operasi di sana adalah jauh berbeza
daripada operasi tren kami di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut beliau,
kKerja-kerja penyelenggaraan tren sebenarnya telah berjalan berterusan selepas
musim haji yang lepas; tetapi pada kadar minima dan meningkat mengikut jadual
tugasan.
“Secara am,
persiapan berjalan dengan lancar. Selain tren, kerja-kerja penyelenggaraan
turut dijalankan untuk semua sistem semboyan dan bekalan elektrik. Kesemua
sistem sudahpun diselenggara dan diuji. Seperti yang dijelaskan, ia akan
berjalan secara berperingkat.
“Setakat ini,
jumlah guna tenaga di MMMSL adalah 168 warga tempatan termasuk 65 orang adalah
warga Arab Saudi serta 77 dari Malaysia. Jumlah ini akan terus meningkat
khususnya dengan pertambahan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan termasuk
program-program persediaan operasi,”, tambah Dato’ Azmi, yang melahirkan rasa
puas hati untuk segala kerja persediaan setakat ini.
Menurut beliau,
operasi pra-percubaan akan berlangsung selama sebulan daripada 6 Jun hingga 5
Julai di mana tren-tren akan diuji mengikut segmen-segmen perjalanan tertentu
pada waktu-waktu yang ditetapkan.
“Operasi percubaan
atau ‘trial operation’ pula akan bermula daripada 9 Julai hingga 6 September di
mana operasi selama 24 jam akan dijalankan. Ini bagi menguji kesiap-siagaan
operasi khususnya komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi dengan tren-tren dan
stesen-stesen,” tambah beliau.
Dengan rangkaian
sepanjang 18.1km yang menghubungkan lokasi-lokasi ibadah haji, laluan MMMSL
mempunyai sembilan stesen – Arafah 1, Arafah 2, Arafah 3, Mudzalifah 1,
Mudzalifah 2, Mudzalifah 3, Mina 1, Mina 2 dan Mina 3 (Jamarat).
“Secara
am, terdapat cuaca yang tidak menentu di Mekah pada ketika ini kerana perubahan
musim dengan terdapat beberapa kejadian hujan lebat dan ribut pasir di sekitar
Arafah. Kami difahamkan bahawa cuaca ketika musim haji di bulan Zulhijjah nanti
diramalkan panas,” kata Dato’ Azmi.
No comments:
Post a Comment