KL CHRONICLE: Kerajaan Kelanta Sedia Pertimbangkan Cadangan Stadium Warna Merah Jambu

Wednesday, January 6, 2016

Kerajaan Kelanta Sedia Pertimbangkan Cadangan Stadium Warna Merah Jambu



Kerajaan Kelantan sedia pertimbang cadangan menukar warna Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu sekiranya menerima permohonan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), lapor Akhbar Sinar Harian.


Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, perkara tersebut dalam perbincangan malah Kafa sendiri belum membuat keputusan.

"Kafa boleh kemukakan surat permohonan kepada Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan kita akan bincang dalam Mesyuarat Majlis PSK, dan buat pertimbangan.


"Tapi Kafa belum buat keputusan berhubung perkara ini kerana masih dalam proses perbincangan," katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata demikian apabila ditanya persediaan kerajaan negeri menukar warna stadium sekiranya Kafa bersetuju memenuhi syarat ditetapkan Ketua Pegawai Eksekutif Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida untuk menaja pasukan berkenaan.

Kafa sebelum ini dilaporkan berkata ia tidak mempunyai halangan untuk bersetuju dengan syarat yang diberikan syarikat kosmetik itu untuk menukar warna stadium kepada merah jambu namun perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri.

Naib presidennya Datuk Rosmadi Ismail berkata, persatuan perlu memperhalusi syarat tersebut memandangkan ia melibatkan kerajaan negeri kerana stadium berkenaan di bawah kelolaan Perbadanan Stadium Kelantan (PSK). 

Vida sebelum ini dilapor berhasrat menaja TRW dengan syarat stadium rumah tempat pasukan itu berlatih dicat warna merah jambu dan pasukan itu dinamakan semula sebagai “Pamoga Qu Puteh The Red Warriors” sempena nama produknya dan slogan “Qu Puteh” beliau.

Wanita yang berasal dari Machang itu berkata syarat itu bukan sahaja dapat mengubah wajah pasukan Kelantan, malah yang lebih penting pasukan itu memperoleh suntikan dana mengubah semula kredibilitinya.

Bagaimanapun, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa Sabtu lalu dilaporkan mengingatkan pihak yang berminat menaja pasukan bola sepak negeri itu agar tidak membuat kecoh mengenai perkara itu menerusi media. 

Ini kerana, katanya, ada prosedur yang perlu diikuti dalam urusan penajaan itu dan kekecohan yang ditimbulkan dikhuatiri akan membantutkan hasrat penaja lain membida tajaan pasukan itu.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, Kafa memerlukan lebih RM12 juta untuk pembelanjaan memperkuat pasukan TRW bagi menghadapi saingan musim tahun ini. – 6 Januari, 2016.   

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget