KL CHRONICLE: Video Aidilfitri @AKaprawi Bawa Mesej Persaudaraan & Perpaduan Sesama Umat Islam

Wednesday, July 15, 2015

Video Aidilfitri @AKaprawi Bawa Mesej Persaudaraan & Perpaduan Sesama Umat Islam



Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi hari ini telah melancarkan klip video Aidilfitri beliau yang membawa mesej persaudaraan dan perpaduan antara umat Islam bersempena dengan bulan Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Bagi kami di #KLChronicle, tema yang digunakan oleh Datuk Aziz Kaprawi iaitu "Persaudaraan & Perpaduan" adalah tepat dan memang kena dalam keadaan semasa yang sedang berlaku di negara ini. 



Umum ketahui bahawa baru-baru ini telah terdapat beberapa insiden yang melibatkan orang Melayu Islam secara khususnya yang hampir memecah-belahkan perpaduan sesama kita. Ini termasuk insiden politik dimana kekuatan orang Islam sebagai majoriti kini sudah semakin terhakis apabila kita kini telah berpecah kepada empat (4) parti politik yang akhirnya mencairkan pengaruh kita dalam menentukan siapa yang memerintah kerajaan. 

Malah, bukan itu sahaja, dari segi ekonomi umat Melayu Islam juga dilihat tidak dapat bersatu-padu apabila isu di Low Yat baru-baru ini melihat kepada perbezaan pendapat antara umat Melayu Islam itu sendiri dimana ada segelintir diantara kita yang menyokong "pihak disebelah sana" dan tidak menunjukkan solidariti bersama mereka yang "berada di pihak sini".

Akhir sekali, sudah pasti menjelang Syawal, terdapat juga persengketaan keluarga yang telah berlaku sekian lama sehingga mengakibatkan segelintir sanak-saudara tidak pulang ke kampung bagi menyambut Aidilfitri. Seeloknya pada tahun ini buanglah persengketaan lama dan mulakan Aidilfitri tahun ini dengan meningkatkan Persaudaraan & Perpaduan antara kita sesama keluarga secara khususnya dan umat Islam secara amnya. 

Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin! 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget