KL CHRONICLE: Kenyataan Media Tan Sri Muhyiddin Yassin Berkaitan Isu 1MDB

Saturday, March 7, 2015

Kenyataan Media Tan Sri Muhyiddin Yassin Berkaitan Isu 1MDB



Dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Mac 2015, Jemaah Menteri telah diberikan taklimat oleh 1MDB dan firma auditnya Deloitte berhubung beberapa dakwaan yang dibuat terhadap dana pelaburan strategik itu.





Saya menyambut baik arahan YAB Perdana Menteri supaya Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB yang mana laporannya akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara untuk penelitian lanjut.

Saya berpandangan Ketua Audit Negara wajar mengaudit akaun 1MDB secara telus, bebas dan menyeluruh dengan meneliti akaun 1MDB sejak awal penubuhannya. Ini kerana beberapa tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu adalah berhubung urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit oleh firma Deloitte.

Ini termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dalam usahasama antara 1MDB dan PetroSaudi International seperti yang ditimbulkan oleh beberapa portal berita. Saya percaya pengauditan yang telus, bebas dan menyeluruh adalah penting untuk membersihkan nama dana pelaburan strategik milik kerajaan itu daripada sebarang tuduhan penyelewengan dan salah laku.

Oleh kerana dakwaan terhadap 1MDB  melibatkan urusniaga korporat yang agak kompleks serta menyentuh kepentingan negara dan kerajaan, Ketua Audit Negara mestilah diberikan sokongan sumber, kepakaran dan tempoh masa yang tidak terlalu lama untuk menyiapkan satu laporan yang lengkap dan komprehensif. Ini penting untuk memulihkan reputasi 1MDB dan mengembalikan keyakinan pelabur. Audit forensik hendaklah dilaksanakan untuk menentukan tiada penyelewengan kewangan berlaku dalam urusniaga 1MDB. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara juga boleh memulakan siasatannya sendiri tanpa perlu menunggu Laporan Ketua Audit Negara disiapkan.

1MDB mesti memandang serius semua dakwaan yang dilemparkan terhadapnya terutama di media sosial. Untuk membersihkan nama 1MDB, tindakan undang--undang hendaklah diambil terhadap sesiapa sahaja yang melemparkan tuduhan tidak berasas. Lembaga Pengarah 1MDB juga perlu mengambil tanggungjawab bersama dan bersedia menghadapi tindakan undang-undang sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat kecuaian atau penyelewengan dalam urusniaga 1MDB.

Lembaga Pengarah perlu memberikan penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan. Kerajaan juga akan menanggung kerugian jika penstrukturan semula 1MDB melibatkan penjualan tanah TRX dan Bandar Malaysia yang diperolehi pada harga yang rendah daripada kerajaan dan hasil penjualan digunakan untuk membayar hutang syarikat. Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang usaha untuk menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.



TAN SRI DATO HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget