KL CHRONICLE: Perlukah kita pilihan raya kerajaan tempatan? – Dr Mohammad Agus Yusoff

Thursday, February 5, 2015

Perlukah kita pilihan raya kerajaan tempatan? – Dr Mohammad Agus Yusoff

Dr. Agus bersama MB Kelantan
Isu pilihan raya kerajaan tempatan ini bermula pada 8 Mac 2010 apabila KM Pulau Pinang menulis surat kepada Pengerusi SPR memberi kuasa kepada SPR untuk mengadakan pilihan raya PBT.

SPR kemudiannya menjawab tidak mempunyai kuasa tersebut kerana bertentangan dengan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memansuhkan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pemilihan kerajaan tempatan di negeri-negeri.



Tidak puas hati dengan jawapan tersebut, pada 11 Mac 2013, kerajaan Pulau Pinang kemudiannya memfailkan satu permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, permohonan itu selaras dengan Artikel 113(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kerajaan negeri memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan pilihan raya selain daripada pilihan raya umum (PRU).

Bagaimanapun, pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri atas alasan “kerajaan negeri Pulau Pinang melampaui bidang kuasanya dalam membuat perintah pengecualian itu yang melanggari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Apa seterusnya selepas keputusan Mahkamah Persekutuan?

Setelah penolakan Mahkamah Persekutuan ini, DAP bersama dengan PKR berkempen supaya rakyat menyokong pilihan raya PBT ini. Alasan mereka ialah:

(i) untuk memulihkan sistem demokrasi negara kita dengan memberi hak undi ketiga kepada penduduk tempatan memilih ahli majlis masing-masing

(ii) pemimpin PBT yang dipilih lebih berakauntabiliti dalam perkhidmatan mereka kepada rakyat

(iii) dengan adanya ahli majlis yang dipilih, maka projek PBT akan menjadi lebih pro-rakyat berbanding kini yang pro-pemaju

(iv) PBT akan lebih bersifat proaktif dengtan bertindak cepat terhadap aduan rakyat tempatan

(v) untuk mengatasi masalah sosial seperti pusat-pusat hiburan, PATI dan jenayah kerana ahli-ahli majlis akan lebih bersungguh memantau hal ini

(vi) membolehkan rakyat tempatan memilih datuk bandar yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat tempatan.

Kempen untuk menghidupkan semula pilihan raya tempatan ini tidak salah.

Itu semangat demokrasi yang dibenarkan. Tetapi pada saya, pilihan raya tempatan ini tidak perlu sama sekali, sekurang-kurangnya pada waktu ini. Hujah saya mudah:

(i) kerajaan negeri fokuslah dahulu kepada usaha untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan kemudahan asas kepada masyarakat tempatan

(ii) tingkatkan dulu good governance dan sistem penyampaian dalam PBT. Macam sekarang, minta kelulusan plan untuk ubah suai rumah pun, terpaksa tunggu sampai berbulan-bulan

(iii) tingkatkan dulu pendapatan PBT supaya mempunyai kewangan yang mencukupi sebelum pilihan raya tempatan dilaksanakan. Jika tidak, nantinya kerja PBT adalah menaikkan kadar cukai PBT sahaja

(iv) dalam keadaan suasana politik dan ekonomi negara sekarang, tidak sesuai untuk kita berpolitik sepanjang masa. Masih ada perkara-perkara lain yang memerlukan keutamaan kita.

Dari segi undang-undang, bolehkah pilihan raya tempatan diadakan?

Mengikut undang-undang, tidak boleh. Ini kerana aspek perundangan bagi pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 sudah dimansuhkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976. Mahkamah Persekutuan pun memutuskan sama ada SPR ataupun negeri tidak ada kuasa untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Jadi, bagaimana jika kita mahukan juga pilihan raya PBT ini diadakan?

Bawa rang undang-undang ke parlimen sama ada rang undang-undang kerajaan atau persendirian untuk meminda peruntukan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang merampas hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan dan Datuk Bandar atau yang dipertua majlis melalui proses demokrasi.

Sepatutnya begitulah sistem demokrasi negara kita berjalan.

Hormati undang-undang dan kita semua berada di atas landasan yang betul dalam berpolitik. – 5 Februari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget