KL CHRONICLE: TPM : Putrajaya akan pantau aktiviti pembalakan Haram di Kelantan oleh pemimpin tempatan

Thursday, January 22, 2015

TPM : Putrajaya akan pantau aktiviti pembalakan Haram di Kelantan oleh pemimpin tempatan



Putrajaya akan memantau aktiviti pembalakan yang menjadi salah satu punca banjir besar baru-baru ini khususnya di negeri Kelantan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata, walaupun banjir kali ini melanda beberapa buah negeri lain, keadaan di Kelantan lebih luar biasa berbanding di tempat lain.



"Keadaan banjir terutamanya di Kelantan sungguh dahsyat, jumlah lumpur dan tanah sangat luar biasa," kata Muhyiddin semasa menghadiri majlis pemberian sumbangan daripada Yayasan Hong Leong di Kuala Lumpur hari ini.

Muhyiddin berkata, keadaan banjir yang teruk itu berpunca daripada tanah yang dihanyutkan dari bukit mengakibatkan jumlah lumpur yang terlalu banyak.
"Ia (lumpur) mesti datang dari bukit kerana kamu potong pokok dan aktiviti pembalakan."

Menurut Muhyiddin, kerajaan tidak menghalang aktiviti pembalakan tetapi ia mesti mengikut garis panduan dan kriteria tertentu bagi memastikan alam sekitar serta ekosistem tidak terjejas.

"Kamu boleh tebang pokok, tapi ia mestilah mengikut jumlah tertentu, ia tidak boleh ditebang sewenang-wenangnya.”

Bencana banjir baru-baru ini antara yang terburuk dalam sejarah negara yang melanda negeri pantai timur dan beberapa buah negeri lain, namun negeri Kelantan paling terjejas teruk dengan dianggarkan lebih 200,000 orang terpaksa dipindahkan semasa bencana tersebut.

Ribuan juga hilang tempat tinggal dan ramai yang hilang punca pendapatan.

Bencana buruk kali ini disumbangkan hujan yang tidak berhenti, fenomena air pasang dan juga aktiviti pembalakan yang menjejaskan tadahan air.

Pada majlis sama, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan dan bantuan semasa bencana banjir tempoh hari.

Putrajaya turut menerima sumbangan sebanyak RM250,000 daripada Yayasan Hong Leong bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana buruk itu. – 21 Januari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget