Aktivis Ali Abd Jalil yang kini mendapat suaka politik di Sweden mula menghina Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menyambut baik berita beliau dan blogger seks, Alvin Tan dihalang dari pulang ke Malaysia.
Ali berkata, ketua Pemuda Umno yang lahir dan membesar di Kuwait itu pulang ke Malaysia memegang jawatan penting dan mengaut kekayaan, sedangkan dirinya anak jati Malaysia mendapat layanan buruk apabila keluar negara.
“Khairy dilahirkan di Kuwait, hidup di luar negara 20 tahun, dia balik Malaysia pegang jawatan besar, kaya raya dan sekarang dia berada di Malaysia baru berbelas tahun saja,” katanya dalam laman Facebook miliknya.
Ali berkata layanan yang diterimanya lebih buruk daripada pendatang haram apabila diugut hingga dibatalkan pasport.
“Antara kami dan Khairy Jamaluddin, siapa lebih anak Malaysia?” soalnya.
Semalam, Khairy (gambar, kiri) dalam kiriman Twitter memberitahu Ali supaya tidak kembali semula ke Malaysia, selepas aktivis itu berkata menerima kad suaka politik di bawah undang-undang Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan perjanjian Dublin.
"Bagus. Jangan sesekali pulang," kata Khairy.
Pada 8 Disember, Jabatan Imegresen mengumumkan pasport Ali dan Tan dibatal serta-merta dan disenarai hitam dalam sistem, menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim.
Mustafa berkata, langkah itu sebagai amaran kepada mereka yang melanggar undang-undang negara serta mengeluarkan kenyataan kontroversi.
“Pihak imigresen menyokong penuh kenyataan yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembatalan pasport milik Alvin yang kini berada di Amerika Syarikat,” katanya.
Keesokannya, Ali berkata beliau sudah diberi kad suaka politik dan memuat naik gambar kad itu dalam Facebook.
"Sekarang aku pegang kad asylum, bawah undang undang PBB dan perjanjian Dublin (asylum agreement).. aku tak tertakluk bawah undang undang ******* kerajaan umno dan sultan... Sini bukan Malaysia," tulis Ali.
Katanya, Malaysia sedang menuju ke arah sebuah negara republik.
"Hapuskan fasis dan rasis... polis dan mahkamah sudah tidak ada kredibiliti, sudah hilang kepercayaan rakyat," katanya.
Ali berdepan 3 tuduhan menghasut kerana didakwa menghina kesultanan Johor dan Sultan Selangor dalam kiriman Facebook.
No comments:
Post a Comment