Monday, December 8, 2014

Akhirnya Kerajaan tarik balik pasport Alvin Tan dan Ali Abd Jalil

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim menunjukkan pasport antarabangsa Malaysia pada sidang media memaklumkan jabatan itu menarik balik pasport blogger seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd Jalil di Putrajaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 8 Disember, 201


Akhirnya pasport penulis blog seks Alvin Tan dan aktivis Ali Abd Jalil yang mendapat suaka politik di luar negara ditarik kembali kerajaan Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata, kedua-dua individu ini sudah tidak boleh "ditoleransi" lagi.




"Kita tidak akan bertoleransi dengan mana-mana individu yang bertindak biadap dan menghina sistem kehakiman dan raja-raja Melayu," kata Mustafa pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata notis akan dihantar menerusi surat berdaftar ke alamat terakhir Tan dan Ali yang diketahui di Malaysia untuk memaklumkan mereka mengenai tindakan itu.

“Selain menghantar notis, kita juga akan meletakkan pengumuman dalam akhbar tempatan mengenai keputusan jabatan ini.

“Kedua-dua individu itu juga disenaraihitamkan dalam pangkalan data kami, maka mereka perlu ada keizinan khas untuk kembali ke tanah air,” katanya.

Mustafa berkata Tan Ali perlu memohon sijil kecemasan daripada wakil Malaysia di luar negara jika mahu pulang ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, sijil kecemasan itu hanya boleh digunakan sekali dan bukan banyak kali seperti pasport antarabangsa.

Katanya, ini adalah kali pertama jabatan itu menarik balik pasport Malaysia.

Beliau berkata, Putrajaya dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah banyak bersabar dan bertoleransi dengan perangai Tan.

“Kita boleh ambil tindakan lebih awal terhadap Tan tetapi kami tidak buat,” kata Mustafa ketika ditanya mengapa baru sekarang jabatan itu bertindak.

“Kita bertindak dengan hormat dan bertoleransi tetapi Tan dan Ali masih terus mengeluarkan komen yang menimbulkan rasa tidak selesa.

“Biarlah ini jadi pengajaran kepada sesiapa yang menghina kehakiman, raja Melayu dan Islam. Kita tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.

Mustafa berkata pengeluaran pasport antarabangsa Malaysia adalah keistimewaan dan bukan hak, maka ia tidak sepatutnya dipersiakan.

“Kerajaan ada budi bicara sama ada hendak keluarkan atau tidak, menangguhkan pengeluaran atau menarik semula pasport.

“Adalah jelas sebelum kerajaan memberi dokumen itu kepada warganegara yang membawa janji dan maruah negara, kerajaan berhak untuk meneliti kredibiliti seseorang,” katanya.

Beliau berkata jabatan itu tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap mereka yang menghina mahkamah, agama dan raja Melayu.

Katanya, ini adalah pengajaran untuk semua rakyat Malaysia, bukan Ali dan Tan saja.

No comments:

Post a Comment