KL CHRONICLE: #JPJ harus dijenamakan semula, apa pendapat anda?

Sunday, November 16, 2014

#JPJ harus dijenamakan semula, apa pendapat anda?



Akhbar Utusan Malaysia hari ini mengkritik dan mengatakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus dijenamakan semula susulan tersebarnya video wawancara ketua pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad bersama sebuah stesen televisyen yang mengatakan operasi nombor pendaftaran bertujuan untuk mengurangkan kematian.



Melalui ruangan pojok Awang Selamat akhbar itu berkata, kerajaan perlu segera campur tangan kerana JPJ kini menjadi jabatan paling tidak popular di kaca mata ramai sebagaimana boleh dilihat dalam reaksi laman sosial jabatan itu. 

"Maka wajar JPJ dijenamakan semula sebelum kerajaan lebih terpalit dan terjejas dengan aura negatifnya. Tiada pilihan, jabatan itu mesti dibantu dan diselamatkan," tulis Awang Selamat dalam edisi Ahad akhbar itu Mingguan Malaysia hari ini.


"Kepada Ismail, kerana pulut santan binasa, kerana mulut JPJ terseksa."
Awang berkata, orang ramai marah dengan kenyataan Ismail yang dilihat tidak menjaga sensitiviti, selain menjadi bahan jenaka.

"Empat kali perkataan mati digunakan oleh beliau. Ramai tergamam Ismail menggunakan bahasa pasar yang kasar sebagaimana yang digunakan oleh warga asing terutama Nepal dan Bangladesh.

"Awang tidak faham mengapa seorang ketua jabatan yang penting dalam perkhidmatan awam tidak boleh bertutur dengan kemas dan tepat untuk makluman awam melalui siaran media khususnya televisyen," katanya.

Awang berkata, kewibawaan JPJ kini dipersoalkan kerana Ismail sendiri tidak menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan jabatan itu.

"Kenderaan beliau juga dilaporkan ada beberapa kes saman lalu lintas. Pada Rabu lalu, khabarnya operasi nombor plat terpaksa ditangguhkan selepas berjalan lebih seminggu.

"Inilah masalah JPJ, macam yo-yo dan hangat-hangat tahi ayam," kata Awang.

Menurut kumpulan pengarang Utusan Malaysia itu, mesej yang hendak disampaikan Ismail sebenarnya mudah akan tetapi kelemahan ketua pengarah JPJ itu menggunakan bahasa kebangsaan menjadi punca mesejnya disalah anggap.

"Jika tidak cukup yakin untuk menggunakan bahasa yang betul, berpandulah atau baca kenyataan media. Awang tidak pasti sama ada Ismail sudah memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas insiden itu atau mungkin beliau menganggap itu hal remeh.

"Kebelakangan ini, banyak kenyataan dan pengumuman JPJ mengundang kontroversi dan keresahan orang ramai," katanya.

1 comment:

usin said...

Patutnya jika kpi seorg kp jabatan awam fail, kena tindakan turun pangkat atau yg bersesuaian. Bagaimana beliau memahami proses penguatkuasaan, apa objektifnya dan bagaimana ia disampaikan kepada awam. Juga bagaimana kemampuan.diri menunjukkan contoh pematuhan. Sekarang dia dh fail, pandai2lah cari tempat bg pegawai fail mcm dia.

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget