KL CHRONICLE: Ini Bukti PAS Keliru dengan "perjuangan" Mereka

Friday, November 7, 2014

Ini Bukti PAS Keliru dengan "perjuangan" Mereka




PAS Selangor menjauhkan diri dari tiga pemimpinnya dan mengambil pendirian tidak akan mempertikaikan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa serta menegaskan, pendirian ketiga pemimpin mereka berhubung status Sisters in Islam (SIS) dan mempertikaikan fatwa berkenaan tiada kaitan dengan parti itu, kata Iskandar Samad.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, tindakan mempertikaikan fatwa secara terbuka adalah  tidak wajar dan ketiga-tiga pemimpin PAS itu akan diadukan kepada kepimpinan PAS Pusat.



"Saya ingin menegaskan tindakan tiga orang ahli Parlimen PAS mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkenaan liberalisme dan pluralisme bukan pendirian PAS Selangor.

"Sehubungan itu, laporan antara mereka adalah pimpinan PAS Selangor adalah tidak benar," kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Khalid Samad semalam selepas mengadakan pertemuan bersama SIS dilaporkan berkata tindakan fatwa negeri Selangor mewartakan SIS berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme adalah tidak berasas.

Kedua-dua pemimpin ahli jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, pihak berkuasa agama seharusnya berbincang bersama pertubuhan itu sebelum mengisytiharkan SIS sebagai sesat dan menyeleweng dari ajaran Islam.

"Fatwa yang diwartakan bersangkut paut dengan pemikiran, jadi perlu ada perbincangan dengan mereka yang terlibat," kata Mujahid selepas menghadiri dialog bersama SIS anjuran Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) di Kuala Lumpur, semalam.

"Selepas pertemuan, kami berpuas hati isu pluralisme dan liberalisme tidak timbul. SIS lebih terlibat dengan aktiviti mempromosikan hak wanita dalam Islam, terutamanya berkaitan polisi dan undang-undang," katanya.

Mujahid berkata, beliau, Khalid dan Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud mengambil peluang yang dianjurkan melalui dialog bersama SIS untuk memahami kumpulan berkenaan.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam berkata, SIS tidak seharusnya dituduh menyebarkan fahaman liberalisme dan pluralisme kerana mereka berhujah menggunakan ajaran Islam dan interpretasi sarjana.

Beliau berkata, fatwa oleh Majlis Fatwa Selangor, yang diwartakan pada Julai gagal memperincikan maksud liberalisme dan pluralisme.

Khalid berkata, meskipun beberapa pendapat SIS tidak dipersetujuinya, tidak bermakna organisasi itu boleh diperlakukan sedemikian tanpa peluang untuk mereka mempertahankan diri.

Menurut fatwa itu, SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana individu, organisasi, atau institusi yang berpegang kepada fahaman "liberalisme" dan "pluralisme" agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Kami juga melihat tindakan mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa secara terbuka adalah satu tindakan yang tidak wajar," kata Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chempaka. – 7 November, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget