KL CHRONICLE: Kini Haron Din Rayu Henti Serangan Terhadap Hadi Awang, Akui Keadaan Sudah "Cukup Panas"

Friday, September 19, 2014

Kini Haron Din Rayu Henti Serangan Terhadap Hadi Awang, Akui Keadaan Sudah "Cukup Panas"


Datuk Dr Haron Din mengarahkan perwakilan muktamar yang bersidang hari ini menghentikan perbahasan berkenaan isu perbezaan pendapat antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kepimpinan lain parti.

Keadaan sudah ‘cukup panas’, kata timbalan mursyidul am PAS itu sambil mengarahkan mana-mana perwakilan yang ingin membawa isu berkenaan supaya tidak lagi berbuat demikian.



Katanya, isu itu sudah difahami kepimpinan tertinggi PAS dan mereka akan mengulasnya dalam sesi penggulungan. 

"Saya arahkan isu itu berhenti setakat itu saja. Isu itu tutup kerana semua sudah mendapat maklumat dan akan diulas dalam penggulungan,” katanya.

Haron berkata demikian kepada perwakilan dalam satu sesi khas sebelum Muktamar Tahunan PAS ke-60 bersambung semula pada hari kedua petang ini selepas berehat untuk solat Jumaat.

Katanya, perwakilan tidak lagi perlu membangkitkan isu itu kerana semua pihak termasuk perwakilan sedia maklum berkenaan situasi itu.

"Jangan dipanaskan barang yang sudah panas, takut tidak baik.

"Kita sampai ke peringkat panas, iaitu isu sedikit kelainan pendapat antara presiden dengan yang lainnya.

"Sudah banyak kita bercakap, saya rasa isu yang hendak disampaikan kepada muktamirin dan muktamirat (peserta muktamar) sudah sampai," katanya.

Isu perbezaan pendapat antara Hadi dengan kepimpinan PAS dan rakan komponen Pakatan Rakyat, PKR dan DAP, hangat dibincangkan dalam muktamar kali ini.

Isu berkenaan menguji keutuhan kepimpinan PAS yang kini dilihat terbahagi antara kumpulan penyokong presiden dan kumpulan profesional penyokong Pakatan Rakyat.

Perbezaan pendapat itu menyaksikan beberapa pemimpin PAS penyokong Pakatan secara terbuka mengkritik Hadi ekoran tindakannya yang enggan menerima Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor seperti dituntut DAP dan PKR. – 19 September, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget