KL CHRONICLE: BN menang di Pengkalan Kubor, Majoriti Lebih Besar

Thursday, September 25, 2014

BN menang di Pengkalan Kubor, Majoriti Lebih Besar


Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dengan majoriti lebih besar selepas Mat Razi Mat Ail mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dengan majoriti 2,635 undi.




Mat Razi memperoleh 9,961 undi di hadapan Wan Rosdi yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary yang hanya memperoleh 38 undi.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu.

Beliau yang juga bekas timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berjaya memenangi kerusi DUN Pengkalan Kubor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dengan majoriti 1,736 undi dalam saingan tiga penjuru mengalahkan calon daripada PKR dan Bebas.

PRK Pengkalan Kubor merupakan pilihan raya kecil yang ketujuh selepas PRU13 lalu, selepas PRK Kuala Besut, Sungai Limau, Kajang, Balingian dan dua lagi di peringkat Parlimen iaitu Bukit Gelugor dan Teluk Intan.

Timbalan Presiden BN Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas pengumuman rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata keputusan PRK kali ini sesuatu yang luar biasa dan mengatasi majoriti Noor Zahidi sebelum ini.

Katanya, kemenangan dalam PRK kali ini membuktikan pengundi di Pengkalan Kubor menyambut baik segala penjelasan dan penerangan yang dibuat BN sebelum ini.

"Kemenangan ini pastinya menunjukkan pengundi di Pengkalan Kubor mempunyai keyakinan tinggi kepada kepimpinan perdana menteri yang menerajui negara dan parti selain menerima baik kempen yang kita jalankan menjelaskan isu penting.

"Saya kira BN sudah menyampaikan penjelasan sebaik mungkin yang meyakinkan pengundi bahawa kita menyatakan yang benar, maka sokongan yang kita terima adalah begitu besar sekali," katanya pada sidang media di SMK Dato Biji Wangsa, Tumpat malam ini.

Beliau berkata dengan sokongan penduduk Pengkalan Kubor, maka bukan sesuatu yang mustahil BN dapat merampas Kelantan dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Katanya, PRK kali ini menjadi penanda aras kesedaran rakyat Kelantan mengundi BN yang ternyata lebih berfaedah daripada mengundi PAS.

"Keputusan ini memberi dorongan besar kepada kami bahawa semuanya belum hilang kerana dengan usaha kesungguhan kita, rakyat Kelantan yang bijaksana memberi penilaian baru dan ini memberi harapan baru kepada kita.

"Ini bukan jalan mudah dan bukan tidak ada harapan. Kita akan usahakan dengan kerja keras yakinkan rakyat Kelantan sokong BN lebih berfaedah untuk mereka daripada sokong PAS," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan Mat Razi agar terus mendekati pengundi walaupun yang berlatarbelakang PAS kerana kelompok itu mampu memberi sokongan kepadanya.

Katanya, selaku wakil rakyat, menjadi tanggungjawabnya untuk memahami hasrat pemgundi dan menyampaikannya kepada pimpinan kerajaan.

"Ini tanggungjawab yang diberikan pengundi dan beliau perlu melaksanakannya dengan baik dan berhemah. Apa yang penting untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat dengan cemerlang menemui pengundi, mengetahui masalah mereka dan menyampaikan kepada pihak atas untuk melaksanakan apa yang diperlukan.

"Saya percaya beliau akan turun ke peringkat akar umbi tanpa mengira latarbelakang pengundi kerana walaupun ada PAS, ada sebahagian yang menyokong beliau," katanya. – 25 September, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget