Tuesday, August 5, 2014

SYARIKAT PRASARANA NEGARA BERHAD KINI ADALAH PRASARANA MALAYSIA BERHAD

Antara aset Prasarana Malaysia Berhad
Kuala Lumpur, 5 Ogos 2014 - Kini sudah mengorak langkah ke pasaran antarabangsa, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), pemilik aset pelbagai kemudahan pengangkutan awam terbesar negara, telah menukar nama kepada Prasarana Malaysia Berhad berkuatkuasa serta merta.




Displaying Dato' Sri Shahril Mokhtar_GMD_.jpg
Pengarah Urusan PRASARANA Dato Sri Shahril Mokhtar
“Dengan kami melangkah mengikuti masa dan perubahan, nama lama Syarikat Prasarana Negara Berhad kurang sesuai khususnya dengan kami sekarang sudah mula mengorak langkah untuk memasuki persada antarabangsa. Nama baru Prasarana Malaysia Berhad bukan saja akan memberi kaitan secara langsung dengan Malaysia, tetapi juga mencerminkan imej yang lebih dinamik dan agresif.

Kita juga perlu mengambil kira bahawa institusi ini ditubuhkan pada 1998. Malahan, peranan dan aspirasi juga sudah berubah mengikut waktu dan keadaan,” Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Shahril Mokhtar berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Permohonan Prasarana untuk pertukaran nama mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia bulan lepas. Nama singkatan terus kekal sebagai ‘Prasarana’. 

Ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan pada 1998, Prasarana, yang secara rasminya memulakan operasi pada 2002, ditubuhkan untuk mengendali dan mempercepatkan projek-projek infrastruktur awam.    

“Prasarana kemudiannya diberikan mandat oleh Kerajaan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam negara. Ini dipertegaskan lagi selepas tahun 2010 untuk mentransformasikan perkhidmatan pengangkutan awam negara dengan pelancaran Pelan Transformasi Kerajaan,” kata Shahril, sambil menambah bahawa  berpandukan aspirasi untuk menjadi institusi yang mempunyai kewangan yang mampan, Prasarana telah menerokai bidang-bidang baru dan mengembangkan skop fungsi dan bisnesnya.

Di bawah pelan transformasi berwawasan bergelar GFP 2.0 (Go Forward Plan 2.0), Kumpulan Prasarana melaksanakan penstrukturan korporat besar-besaran pada Januari 2013 dengan menubuhkan empat anak syarikat atau unit bisnes strategik - Rapid Rail Sdn Bhd, Rapid Bus Sdn Bhd, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) dan Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME).

“Sebahagian daripada bisnes PRIME adalah untuk mengeksport kepakaran dan keupayaan teknikal kami ke luar negara. Kami telahpun membuat bidaan untuk menjadi operator bayangan (shadow operator) untuk Fasa 1 Makkah Metro.

“Kami juga sedang mempromosi kursus-kursus latihan kami ke pasaran antarabangsa. Semua inisiatif ini akan dipermantapkan lagi dengan jenama Malaysia,” kata Shahril, menambah pada minggu lepas Prasarana telah menghantar sekumpulan 12 staf teknikal daripada Rapid Rail untuk menyertai rakan-rakan sejawat mereka daripada Express Rail Link (ERL) untuk menyokong operasi Projek Metro Al Manshaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line untuk musim Haji tahun ini.

“Sama juga dalam urusan perolehan dengan pembekal-pembekal tren dan bas antarabangsa. Kami bangga untuk menonjolkan diri kami sebagai sebuah syarikat Malaysia – yang sentiasa dinamik, tegas dalam prinsip-prinsip integriti dan menjadi sebahagian daripada negara yang pesat membangun,” kata Shahril.

“Sebelum PRIDE, kami mempunyai satu unit komersil. Tetapi, dengan wujudnya PRIDE, kami menerokai bidang-bidang yang lebih luas selain daripada perkara-perkara yang berkaitan dengan komersil dan pengiklanan. Kami sedang menerokai pembangunan gaya hidup baru berasaskan Pembangunan Berorientasikan Transit atau TOD, kami turut menerokai peluang pemasangan sistem gentian optik dan telekomunikasi di aset kami. Kami sedang menerokai  pelbagai kemungkinan. Kerana itu, pertukaran nama adalah wajar pada masa kini,” katanya.

Tamat

No comments:

Post a Comment