KL CHRONICLE: 6 EXCO Selangor dipecat diarah kosongkan pejabat

Wednesday, August 13, 2014

6 EXCO Selangor dipecat diarah kosongkan pejabat


Enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) daripada DAP dan PKR diarah mengosongkan pejabat masing-masing ekoran pemecatan mereka mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata bagaimanapun buat masa ini tiada tempoh masa tertentu diberikan kepada semua exco terlibat.

"Arahan pemecatan mereka diperkenankan Sultan Selangor dan mulai 12 Ogos (semalam) mereka tidak lagi dibenarkan untuk meneruskan tugas.

"Buat masa ini, tiada arahan dikeluarkan bila sepatutnya mereka harus mengosongkan pejabat masing-masing, tetapi mereka dibenarkan masuk ke pejabat bagi mengemaskan barang persendirian mengikut masa mereka," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai beberapa exco daripada kedua-dua parti itu yang kelihatan hadir dan meneruskan tugas di pejabat masing-masing di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Khusrin berkata kehadiran exco berkenaan bagaimanapun tidak melibatkan tugasan rasmi.

"Mungkin dia datang untuk kemas barang atau jumpa orang... (jumpa orang) itu memang tugas dia selalu di Dewan Negeri Selangor ini," katanya.

Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat bagi meminta perkenan Sultan Selangor supaya enam exco daripada PKR dan DAP yang tidak menyokong pentadbirannya digugurkan serta-merta.

Tiga exco daripada DAP ialah Datuk Teng Chang Khim, V Ganabatirau dan Ean Yong Hian Wah sementara exco PKR ialah Elizabeth Wong Keat Ping, Rodziah Ismail dan Dr Daroyah Alwi. – Bernama, 13 Ogos, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget