KL CHRONICLE: Presiden kami disiasat, @LimKitSiang bila lagi @PDRMsia nak siasat, soal ISMA

Thursday, July 17, 2014

Presiden kami disiasat, @LimKitSiang bila lagi @PDRMsia nak siasat, soal ISMA

@LimKitSiang masih tidak disiasat walaupun laporan polis telah dibuat
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) hari ini mempersoalkan pihak polis yang masih belum menyiasat Lim Kit Siang walaupun laporan terhadap ketua Parlimen DAP itu sudah dibuat dua bulan berlalu.

Pengerusi Gabungan Peguam Isma, Muhammad Luttfi Abd Khalid berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu mengambil tindakan terhadap Lim dan DAP supaya tidak terus dilabel pilih kasih.



“Presiden Isma Abdullah Zaik Abd Rahman disiasat dan didakwa dengan segera. Mengapa laporan polis terhadap DAP dan Lim tidak ada tindakan?

"Adakah pihak polis amalkan pendakwaan terpilih?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 8 Mei lalu, ahli Isma di 27 cawangan seluruh negara membuat laporan polis terhadap DAP susulan kenyataan mendakwa Isma racun yang cuba merosakkan perpaduan kaum dan keharmonian agama di kalangan rakyat Malaysia.

Isma berkata Lim memfitnah mereka semasa himpunan di Dataran Merdeka sempena ulang tahun pertama Pilihan Raya Umum ke-13 pada 4 Mei lalu dan ucapan tersebut disiarkan di YouTube pada 7 Mei lalu.

Esok merupakan tarikh sebutan kes kedua bagi Abdullah Zaik yang dituduh mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan.

Artikel Abdullah Zaik yang bertajuk “Kedatangan pendatang Cina dan penjajah British di Tanah Melayu satu bentuk pencerobohan” disiarkan di laman Isma pada 6 Mei lalu dan mendapat kecaman pelbagai pihak terutamanya parti politik Cina.

Mahkamah Sesyen Kajang pada 19 Jun menuduh Abdullah Zaik mengikut Akta Hasutan kerana kenyataan kontroversinya terhadap orang Cina.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Hakim Nor Hazani Hamzah menetapkan jaminan RM5,000 dan tarikh sebutan semula kes esok selain memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Abdullah Zaik dituduh mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan. – 17 Julai, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget