Melayu dikejar tidak dapat, Cina dikendong berciciran! Mungkin inilah pepatah yang paling sesuai menggambarkan situasi yang dihadapi oleh DAP sebaik sahaja keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) P76 Teluk Intan diumumkan malam tadi.
Dalam keputusan yang penuh debaran itu, Mah Siew Keong dari BN berjaya mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti tipis 238 undi.
Mah yang juga merupakan Presiden Gerakan memperoleh 20,157 undi manakala Dyana memperoleh 19,919 undi.
Ini sekaligus membolehkan Mah menjadi ahli Parlimen Teluk Intan untuk penggal ketiga dan membuktikan yang beliau masih berbisa di kawasan ini.
Sebaliknya, kekalahan DAP menjadikan mereka parti pertama yang kalah pada PRK pasca PRU13.
Peratusan keluar mengundi yang rendah, kurang daripada 70% merupakan faktor utama yang menyebabkan kekalahan DAP di Teluk Intan. Mungkin teori pengundi beralih angin "swing votes" kurang relevan di Teluk Intan kerana Mah menerima jumlah undi hampir sama semasa beliau kalah di PRU13 yang lalu.
Jika kita menganggap orang yang sama mengundi Mah pada PRU13 tetap mengundi beliau pada PRK kali ini, maka ini bermakna lebih 7 ribu pengundi DAP tidak turun mengundi pada PRK Teluk Intan sekaligus mendorong kepada penurunan hampir 15% peratusan keluar mengundi.
Berdasarkan situasi ini, dengan pantas kita boleh membuat kesimpulan awal (tanpa meneliti borang 14) bahawa sokongan orang melayu separa umur ke atas yang menetap di Teluk Intan kukuh menyokong BN.
Sebaliknya penurunan undi DAP adalah disebabkab oleh peratusan keluar mengundi golongan muda Cina yang tinggal di luar Teluk Intan yang kurang pada PRK ini.
Selain faktor pengundi atas pagar yang cenderung mengundi BN.
Perkara ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menganggap penurunan sokongan daripada semua kaum kepada DAP antara punca kekalahan mereka di Teluk Intan.
Selain penurunan, undi Cina kepada DAP yang berkemungkinan besar disebabkan faktor calonnya berbangsa Melayu. Beliau juga percaya berlaku penurunan hampir 10% sokongan kepada parti itu.
Antara lain, pengundi di Teluk Intan ingin mengekalkan penguasaan wakil rakyat cina di parlimen mereka bagi menggantikan tempat Seah Leong Peng.
Tambahan pula, mereka juga ingin melihat seorang menteri Kabinet berbangsa Cina dalam Kabinet Malaysia bagi mewakili kepentingan bangsa mereka.
Dari sudut yang lain pula, faktor penolakan bangsa melayu kepada DAP khususnya di DUN Changkat Jong mendorong kepada kekalahan DAP, walaupun DAP menampilkan calon berbangsa Melayu pada PRK ini.
Tambahan pula, mereka dipengaruhi oleh pelbagai isu yang dimainkan sepanjang tempoh berkempen termasuklah isu hudud, UiTM, Perkasa, dan lain-lain.
* Penulis merupakan penggerak kepada GenTRA, sebuah badan yang mempromosikan minat, mewujudkan suasana pembelajaran bersama dan memperkasakan anak-anak muda dibidang sosial dan politik semasa.
No comments:
Post a Comment