Mahkamah Syariah George Town hari ini memutuskan wanita yang jatuh daripada pangsapurinya Sabtu lalu, Teoh Cheng Cheng bukan beragama Islam sewaktu dia meninggal dunia dimana keputusan ini merupakan satu tamparan hebat buat Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP)
Hakim Zaim Md Yudin, dalam penghakimannya turut mengarahkan pihak yang kini menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada ahli keluarga Teoh serta meminta pihak polis membantu dalam urusan ini.
Zaim turut membenarkan keluarga Teoh mengambil mayatnya untuk melaksanakan upacara pengebumian mengikut kepercayaan agama mereka.
Dalam penghakimannya, Zaim berkata berdasarkan bukti yang dikemukakan kepadanya semasa perbicaraan, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza selain proses permohonan si mati tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).
Malah keputusan juga dibuat berdasarkan keterangan yang dikemukakan teman rapat keluarga serta anak sulung si mati yang memberitahu Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.
Selain itu, anak sulung si mati yang merupakan saksi keempat juga memaklumkan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha adalah pada bulan lepas sebelum kematian Teoh.
Katanya tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam setelah proses permohonan untuk memeluk agama Islam.
Sementara itu, menurut, peguam keluarga Teoh, Wan Faridul Hadi Mohd Yusof mahkamah juga memutuskan yang si mati tidak pernah memeluk agama Islam dan tidak mengamalkan cara hidup Islam.
“Pihak Majlis Agama Islam tidak berjaya membuktikan berdasarkan dokumen bahawa si mati telah sempurna masuk Islam kerana terdapat keraguan di dalam borang tersebut iaitu tarikh yang berbeza,” kata Wan Faridul.
Semalam, Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) memfailkan permohonan bagi mengesahkan status agama Teoh yang didakwa telah memeluk Islam 17 tahun lalu .
Pada prosiding itu, ahli keluarga diwakili peguam Wan Faridul manakala MAIPP diwakili peguam Noor Asyimah Ramli.
Teoh yang merupakan seorang ibu berusia 38 tahun meninggal dunia di pangsapurinya di Jalan Macallum pada Sabtu.
Pada Isnin, majlis pengebumian Teoh telah terhenti apabila pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) hadir di pangsapurinya bagi ‘menuntut’ mayat si mati.
Si mati dikatakan telah memeluk agama Islam 17 tahun lalu serta menggunakan nama Islam Nora Teoh Abdullah.
No comments:
Post a Comment