Jabatan Peguam Negara hari ini memaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat berhubung kes rampasan 300 naskhah Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban pada Januari lepas, sekaligus menutup kes berkenaan.
Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan di sini berkata jabatan itu telah meneliti fakta dan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan berhubung rampasan buku tersebut serta mengambil kira peruntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam 1988).
Ia memutuskan buku-buku yang dirampas itu bukan merupakan tulisan yang diterbitkan di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.
"Keterangan menunjukkan buku-buku yang dirampas adalah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Alkitab Berita Baik adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan media Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 4 Jun lepas yang memberi tempoh satu bulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk memutuskan sama ada untuk memulangkan 300 naskhah Bible yang telah disita Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Januari lepas kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).
Abdul Gani berkata jabatan tersebut juga mengambil kira keterangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa buku-buku itu tidak dikawal KDN dan tidak melibatkan isu keselamatan negara.
Sehubungan itu, beliau berkata tentang buku yang dirampas itu, Jabatan Peguam Negara meminta JAIS mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 naskhah Bible versi Bahasa Malaysia dan Iban sebagai usaha membanteras penggunaan kalimah Allah dalam kitab itu yang didakwa melanggar Enakmen 1988.
Tindakan itu dikecam oleh pihak tertentu terutama golongan bukan Islam.
No comments:
Post a Comment