KL CHRONICLE: Haha DUN Selangor tolak semua 10 soalan @drWanAzizah

Monday, June 16, 2014

Haha DUN Selangor tolak semua 10 soalan @drWanAzizah


DUN Selangor hari ini gempar apabila semua 10 soalan yang dikemukakan secara bertulis oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ditolak berikutan ia tidak mengikuti prosedur ditetapkan.




Pegawai kepada Wan Azizah, Mohamad Rashidi Hassan ketika dihubungi berkata, soalan berkenaan ditolak berikutan berlaku kesilapan iaitu soalan tidak boleh melebihi 40 perkataan. 

"Sepatutnya pejabat DUN memberitahu Adun baru seperti Wan Azizah tentang perkara ini kerana Datuk Seri tidak tahu perkara ini . Oleh kerana tidak diberitahu, berlakulah perkara ini," kata Rashidi kepada The Malaysian Insider.

Berdasarkan kepada senarai soalan yang diterima dan ditolak oleh speaker DUN yang disebarkan di kalangan Adun Selangor, Wan Azizah yang juga presiden PKR itu menghantar soalan paling banyak untuk dijawab oleh kerajaan negeri pada sidang DUN kali ini.

Bagaimanapun, Speaker, Hannah Yeoh menolak semua soalan berkenaan.

Wan Azizah mengangkat sumpah sebagai Adun Kajang pada 7 April lalu di depan speaker selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Kajang.

Sebelum menang di Kajang pada 23 Mac lalu, Wan Azizah pernah menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh selama lebih daripada satu penggal sebelum diambil alih oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu pilihan raya kecil.

DUN Selangor mulai bersidang hari ini hingga 27 Jun depan.

Tindakan speaker menolak semua soalan Wan Azizah menimbulkan kekecohan di kalangan Adun dan petugas media memandangkan beliau adalah presiden PKR dan berpengalaman sebagai ahli Dewan Rakyat sebelum ini.

Seorang Adun memberitahu The Malaysian Insider, ia tidak pernah berlaku kepada Adun lain sebelum ini.

Sementara itu, speaker turut menolak lima daripada sembilan soalan yang dikemukakan oleh Adun Rawang, Gan Pei Nei. 

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget