Sejumlah 22.95 peratus atau 13,754 pengundi telah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan sehingga 10 pagi ini, menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Cuaca cerah pagi ini memboleh pengundi menunaikan tanggungjawab mereka seawal 8 pagi.
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan isteri, Datin Yeoh Pooi Hoon mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz pada 9.10 pagi.
Tinjauan mendapati pengundi warga emas turut dibantu petugas SPR dengan kerusi roda untuk masuk ke pusat pengundian.
Peraih undi kedua-dua calon juga kelihatan berada 50 meter dari pusat pengundian.
Sebanyak 35 pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.
Parlimen Teluk Intan meliputi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Bedamar dan Changkat Jong.
Semua pusat mengundi akan ditutup 5 petang ini, kecuali pusat mengundi di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Sungai Timah yang akan ditutup pada pukul 4 petang kerana mempunyai sedikit pengundi.
Penjumlahan undi dijangka bermula sebaik pusat mengundi ditutup dan akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di Jalan Changkat Jong, di sini.
Pada pengundian awal 27 Mei lepas, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi.
Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak Ahmad Adli Abdullah berkata SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi mampu mencecah 80 peratus, sama seperti peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Beliau juga menjangkakan keputusan PRK Parlimen Teluk Intan dapat diumumkan seawal pukul 9 malam.
Sementara itu, cuaca di Teluk Intan cerah di sebelah pagi, dan diramalkan hujan sebelah petang, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia.
PRK ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.
Pada PRU Mei 2013, Seah menang dengan majoriti undi 7,313 dalam pertandingan tiga penjuru.
No comments:
Post a Comment