KLChronicle : Tahniah diucapkan kepada TUDM kerana telah berjaya melakukan satu program yang Pro-Active untuk "engage" bersama pengamal media dan memberikan penerangan yang menyeluruh tentang operasi TUDM dalam memastikan kedaulatan ruang udara negara terjamin.
Tentera Udara Diraja Malaysia telah menganjurkan program Hari Media Bersama Kementerian Pertahanan dan TUDM pada 26 Mei 2014 bertempat di Pangkalan Udara Kuantan. Penganjuran Hari Media ini juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-56 pada tahun ini.
Seramai 53 wakil media dari pelbagai agensi media tempatan dari Lembah Klang dan Negeri Pahang telah menyertai program Hari Media berkenaan. Wakil-wakil media dari Lembah Klang yang terlibat sebagai peserta telah diterbangkan dengan pesawat pengangkut C130 dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Kuantan untuk mengikuti program berkenaan.
Pelbagai aktiviti menarik telah disediakan oleh TUDM kepada wakil-wakil media sepanjang program berlangsung. Wakil-wakil media telah dipertontonkan dengan beberapa demonstrasi keupayaan TUDM melibatkan elemen-elemen tempur TUDM seperti pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas Udara (PASKAU). Selain itu, wakil media juga turut berpeluang melihat dengan lebih dekat aset-aset udara TUDM yang terdapat di Pangkalan Udara Kuantan melalui pameran statik pesawat MiG-29N, Hawk, Aermacchi MB339CM dan helikopter EC725.
Wakil media seterusnya dibawa melawat dan diberikan taklimat berkaitan fungsi dan pengoperasian beberapa instalasi pangkalan seperti Pusat Simulator MiG-29, Air Combat Maneuvering Instrumentation (ACMI), Terminal Peluru, Skuadron 320 dan Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (INSPRA). Selain itu, dalam program ini juga, wakil media turut berpeluang menyertai pertandingan menembak menggunakan pistol dari jenis 'Browning’ yang diadakan khusus untuk wakil media.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM. Turut hadir meraikan wakil media adalah Panglima No 1 Div Udara, YBhg Mej Jen Dato’ Azizool Arif bin Abdul Ghani TUDM, Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais YBhg Mej Jen Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia YBhg Mej Jen Dato’ Hj Mazlan bin Abas TUDM, Asisten Ketua Staf Pengurusan Strategik YBhg Brig Jen Dato’ Paduka Wan Normazlan bin Che Jaafar dan beberapa Pegawai Kanan TUDM lain.
No comments:
Post a Comment