Tuesday, May 6, 2014

@mpkotabelud Menjawab Isu Pembelian Rumah Secara Berkumpulan & Menjual Semula Dengan Harga yang Tinggi @GoTeamRD



Semalam di Dewan Negara, Dato' Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar,Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menjawab dua soalan oleh Senator Datuk Haji Yunus Haji Kurus, mengenai: 



(a) langkah membendung kegiatan pembelian rumah secara berkumpulan dan kemudiannya menjualnya kembali dengan harga lebih tinggi demi meraih keuntungan atas angin yang turut dikenali sebagai Kelab Pelabur Hartanah; dan

(b) bagaimana Kementerian bercadang membendung aktiviti kumpulan tersebut kerana tiada undang-undang khusus yang melarang operasi seumpama itu.

Jawapan Dato' Abdul Rahman Dahlan ialah kerajaan memang menyedari kewujudan `investors' club' dan kesan terhadap peningkatan harga rumah dan hartanah negara. 

Justeru, antara inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan adalah:

(1) Mewujudkan smart partnership dengan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memantau dan merangka strategi bagi mengawal aktiviti kelab pelabur hartanah;

(2) Mewujudkan pangkalan data maklumat pembeli rumah di Jabatan Perumahan Negara bagi mengenalpasti bilangan rumah yang dimiliki oleh seseorang individu; dan

(3) Menetapkan syarat baharu penjualan secara pukal (bulk) atau en-bloc dalam Permit Iklan dan Jualan Pemajuan Perumahan bagi projek-projek baharu yang dilesenkan untuk mengekang aktiviti penjualan secara pukal. Bagi penjualan secara pukal iaitu melebihi empat (4) unit rumah pemaju perlu mendaftarkan nama pembeli dengan pihak Kementerian.

Kerajaan akan terus mengawasi kenaikan harga rumah dan jika perlu dari semasa ke semasa akan mengenakan langkah-langkah fiskal tambahan untuk mencari keseimbangan dalam pasaran dan memastikan harga hartanah tidak melambung pada kadar yang tidak sihat yang akan membebankan pembeli rumah. 

Di samping itu juga, Kerajaan akan terus meningkatkan penyediaan rumah mampu milik, bagi memastikan golongan berpendapatan pertengahan dan rendah tidak ketinggalan atau tercicir di dalam memiliki rumah sendiri.

No comments:

Post a Comment