KL CHRONICLE: PAS Merayu @dapmalaysia & PKR Hormat Hak Demokratik untuk Bentang Hudud di Parlimen

Monday, April 28, 2014

PAS Merayu @dapmalaysia & PKR Hormat Hak Demokratik untuk Bentang Hudud di Parlimen



PAS hari ini merayu semua pihak dalam Pakatan Rakyat agar menghormati hak demokratik mereka untuk membentangkan usul pindaan undang-undang di Parlimen bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan di Kelantan.



Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata parti Islam itu tidak akan memaksa dasar dan agenda ke atas rakyat atau melaksanakan secara "pintu belakang".

"Apa jua agenda dan dasar yang hendak di bawa PAS, ianya tidak akan dipaksa ke atas rakyat atau dilaksanakan secara ‘pintu belakang’ melalui cara-cara yang di luar kaedah Perlembagaan dan undang-undang," kata Mahfuz yang juga merupakan ahli Parlimen Pokok Sena dan menambah PAS bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan penjelasan atau memberikan kritikan, teguran atau pandangan terhadap rang undang-rang undang yang ingin dibentangkan.

PAS turut merayu kepada DAP dan PKR yang menentang atau tidak bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang hudud ini supaya sekurang-kurangnya menghormati hak demokratik parti Islam itu untuk membawa kes itu ke Parlimen.

"Sekiranya ketentuan proses demokrasi tersebut tidak menyebelahi kehendak PAS, kami akan akur dan bersedia menerima apa jua keputusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai respon kepada kritikan keras rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP.

Lanjutan daripada pengumuman Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berhubung keputusan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian (private member’s bill) bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 atau undang-undang hudud dikuatkuasakan di Kelantan, pelbagai pihak memberikan kritikan keras.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menggesa PAS untuk keluar PR jika ia nekad meneruskan rancangannya untuk menguatkuasakan hudud di Kelantan.

Menurut Mahfuz, tiada sebab untuk memusuhi pihak yang membantah pelaksanaan hudud, memandangkan ia merupakan agenda PAS secara solo yang diperjuangkan jauh lebih awal sebelum pembentukan kerjasama politik di dalam PR.

"PAS juga menghormati ketetapan yang dibuat oleh parti dalam kompenan Barisan Nasional (BN) dan rakan komponen dalam Pakatan Rakyat yang tidak bersetuju dengan undang-undang hudud ini atas alasan ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Sejak awal penubuhan Pakatan Rakyat, PAS sedia maklum pendirian rakan Pakatan Rakyat tentang hudud dan rakan-rakan PR juga sedia tahu bahawa hudud adalah antara perincian kepada agenda perjuangaan Islam PAS yang mustahil untuk dikompromikan.

"Namun, kerjasama yang dibina adalah berteraskan kepada agenda yang dipersetujui bersama yang bilangannya jauh lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan agenda tunggal hudud," katanya.

Beliau berkata, perbezaan dalam soal hudud dengan rakan PR adalah terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan komitmen dan iltizam PR untuk membawa perubahan yang lebih baik dalam pemerintahan negara.

"Justeru, kita bersetuju untuk tidak bersetuju dalam soal hudud ini namun ianya tidak akan sesekali memecahkan kerjasama dalam PR yang membawa amanah yang diberikan oleh rakyat," katanya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget