Selebriti terkenal Wardina Safiyyah mengkritik penceramah agama terkenal Don Daniyal apabila mendakwa kandungan ceramah yang disampaikan tidak sahih dan terlalu taksub pada kisah mistik serta tidak berpandukan pada Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad.
Wardina menggesa kerajaan menyiasat kandungan ceramah tersebut kerana khuatir masyarakat Islam disogokkan dengan sumber cerita tanpa rujukan.
"Saya risau ketaksuban kita pada cerita mistik. Agama Islam sudah cukup dengan Quran dan sunnah… It is an amazing mukjizat on its own. We don’t need anything more to strengthen our faith. Our faith is strong with the Quran," katanya yang dipetik melalui laman Facebook, Wardina Safiyyah Official Page.
Dalam akaun Facebook itu, Wardina menegaskan tegurannya itu dibuat kerana sayang pada agama. Setiap kandungan memerlukan hujah, dalil dan disiplin apatah lagi mistik tidak pernah dianggap sebahagian daripada Islam.
"Saya sayangkan Ustaz Don dan mereka yang cintakan agama. Namun agama ini perlu hujjah dan dalil, perlu disiplin. Agama Islam bukan agama mistik. Ia berpandukan dalil Quran dan sunnah. Wallahualam," katanya.
Selebriti itu menulis status tersebut semalam dan turut berkongsi video ceramah ustaz tersebut bertajuk kompilasi hadis palsu dan pendustaan Don Daniyal yang berdurasi hampir 20 minit itu.
Video itu memaparkan dakwaan Ustaz Don bahawa Imam Mahdi berasal dari Tanah Melayu.
"Saya tidak mahu cerita kosong sebab ini masjid negeri. Kot-kot saya salah maklumat, saya bagi tuan puan balik dengan fakta cari kalau saya salah nanti bagitaulah saya salah maklumat.
"Saya bagi contoh buka kitab hadis akhir zaman, Imam Mahdi ada penyokong Bani Tamin dari timur. Ulama mempersoalkan kena Bani Tamin yang diterjemahkan Tanah Melayu. Ini diskusi antara ulama. Bukan saya yang kata. Saya hanya sampaikan," kata Don.
Selain itu, Don menceritakan mengenai kisah Brunei yang memanggil Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din untuk meneliti keaslian rambut Nabi Muhammad yang dibeli negara itu.
"Ingat satu masa dahulu famous tentang Datuk Haron Din berjumpa Rasulullah. Peristiwa ini selepas peristiwa itu, Datuk Haron dipanggil ke Brunei kenapa, kerana negara itu membeli sehelai rambut nabi.
"Bila saya kata membeli maknanya ada harga dan sehelai rambut nabi di zaman moden bernilai RM4 juta. Panggil Datuk Haron untuk tengok sama ada asli atau tidak. Beliau guna lampu suluh, tidak ada bayang -bayang maka jelas ia asli," katanya.
Nama sebenar beliau, Don Daniyal Don Biyajid juga merupakan pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Kaherah Mesir.
Namun sejurus selepas kenyataan kritikan terhadap Don, Wardina diselar peminatnya kerana dianggap tidak layak untuk menegur penceramah berkenaan.
No comments:
Post a Comment