KL CHRONICLE: Isu HoT Melibatkan @azminali Di SELCAT!

Wednesday, March 26, 2014

Isu HoT Melibatkan @azminali Di SELCAT!


Isu penamatan perkhidmatan Mohamed Azmin Ali sebagai Anggota Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghangatkan sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) apabila terdapat percanggahan kenyataan antara beliau dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 





Dalam sesi pendengaran itu, Khalid yang juga pengerusi PKNS berkata, keputusan penamatan perkhidmatan Azmin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, masih 'tergantung' bagi membolehkan siasatan daripada setiap sudut, termasuk aspek perundangan. 

"Siasatan juga meliputi keputusan yang dibuat atau dokumen yang dikeluarkan PKNS tanpa pengetahuan atau kelulusan pengerusi dan ahli lembaga pengarah lain," katanya pada sesi pendengaran itu. 

Isu penamatan perkhidmatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS pada 8 Januari lalu mencetus kontroversi selepas Khalid menafikan terlibat dalam keputusan itu, sebaliknya mendakwa tindakan menggugurkan timbalan presiden PKR berkenaan dilakukan dibuat berdasarkan tafsiran pegawai tertinggi PKNS.

Kenyataan beliau bagaimanapun dinafikan Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek, yang berkata kuasa melantik ahli lembaga pengarah PKNS terletak di tangan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan Khalid dan bukan pegawai tertinggi PKNS selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Susulan itu, bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Norita digantung tugas dan kini ditukarkan sementara ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sehingga siasatan dalaman berhubung isu berkenaan selesai.

Khalid berulang kali menegaskan penamatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS tidak pernah dibincang atau diputuskan Anggota MMKN sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan tafsiran pegawai tertinggi PKNS.

Kenyataan itu bagaimanapun disanggah Azmin, yang menegaskan beliau dipecat meskipun kontrak perkhidmatannya hanya tamat pada 2015.

Azmin berkata, tidak wajar jika perkhidmatannya ditamatkan hanya kerana memulangkan kenderaan rasmi dan keistimewaan lain kepada PKNS sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

"Saya memulangkan keistimewaan itu selaras dengan garis panduan kerajaan sementara selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan," katanya.

Menyentuh penamatan kontrak 20 petugas PKNS Holdings, Khalid berkata keputusan itu dibuat Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Alfiah selepas kajian yang mengambil kira pandangan petugas tetap bagi menjaga kepentingan PKNS khususnya dalam penjimatan kos operasi. - Bernama, 26 Mac, 2014.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget