Sunday, March 2, 2014

Adakah Orang Melayu Sudah Tidak Peduli Dengan Bangsa Sendiri ? #KLChronicle


JIKA semua Melayu bersetuju, selepas ini tiada lagi tanda ‘bangsa’ atau ras dalam mana-mana borang rasmi di negara ini. Tiada lagi kotak tanda: Melayu, Cina, India dan Lain-Lain. Sebaliknya yang ada hanya Warganegara dan Bukan Warganegara. Puncanya kerana sekarang ini mahu sebut Melayu pun orang sudah takut dan fobia. Maka itu, perkataan itu perlu dipadam.


Cadangan itu disokong sendiri oleh seorang menteri Kabinet hasil desakan oleh badan-badan hak asasi manusia.

Jika dulu ada NGO yang diwujudkan untuk memansuhkan ISA (Abolish ISA), yang kemudiannya desakan mereka didengari kerajaan, tidak mustahil cadangan di atas pun akan diterima.

Lagi pun sudah ada suara-suara yang berani mempersoalkan asal-usul orang Melayu. Mereka dakwa Melayu pun kaum pendatang, mereka pun pendatang. Maka semua sama sahaja.

Betul juga, Melayu sekarang ini rata-rata nak cakap Melayu pun sudah malu. Nak baca dan kepit surat khabar Utusan Melayu pun malu. Apatah lagi anak-anak Melayu elit yang tak pernah belajar di sekolah rendah kebangsaan pun sudah ramai.

Jika Melayu bersetuju selepas ini maka kita kena akurlah juga dengan cadangan sebuah lagi NGO hak asasi manusia iaitu Comango.

Comango, Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process atau Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Difahamkan terdapat 13 usul akan dibentangkan oleh NGO Comango yang salah satunya ialah menuntut kebebasan LGBT di negara ini.

Berikut adalah di antara tuntutan Comango yang sudah pun diserahkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ‘United Nation Human Rights Council, (UNHRC) di Geneva:

  1. * Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Maknanya menuntut supaya negara kita menghalalkan LGBT - iaitu amalan seks songsang!
  2. * Mereka turut memberi tekanan untuk menghapuskan Seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Di dalam tuntutan ini Comango turut tidak setuju pusat-pusat gay diserbu pihak berkuasa (maknanya mereka mahu gejala seperti itu berleluasa).
  3. * Mempersoalkan Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan mereka mendesak pemansuhan atau pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai "mengganggu hak peribadi".
  4. * Membuat tuntutan yang mewujudkan kekeliruan-kekeliruan terhadap isu kebebasan beragama seperti membawa kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian yang masih belum diputuskan secara muktamad oleh mahkamah tertinggi di Malaysia - untuk dibicarakan di Geneva!
  5. * Mereka juga mempersoalkan larangan terhadap penganut ajaran Syiah menyebarkan fahaman mereka di kalangan orang Islam. Dan juga isu hak seorang bapa beragama Islam untuk mengislamkan anak-anak di bawah umur (juga dijadikan isu hak asasi manusia).


Oleh itu, jika orang Melayu beragama Islam bersetuju dengan itu semua, maka negara kita akan menjadi negara Islam pertama bersetuju dengan cadangan-cadangan itu.

Lagi pun tiada kedengaran pun sebuah parti yang menggunakan nama Islam di negara ini membantah atau "sanggup berbaring di atas jalan" untuk menghalangnya. Yang bising hanyalah NGO-NGO totok Melayu yang rasis. Yang lain-lain senyap sahaja.

Jika dikaji, tuntutan demi tuntutan itu dibuat oleh pihak liberal yang banyak berhaluankan parti yang diberi nama "pakatan rakyat".

Jika rakyat semua sudah berpakat maka tidak susahlah untuk mempersetujuinya.

Selain di atas, orang Melayu juga mungkin akan bersetuju dengan satu kumpulan pendesak meminta penghapusan dasar perlindungan kepentingan bumiputera dan tanah rizab Melayu serta kelonggaran kepada orang Islam untuk murtad.

Jika semua orang Melayu Islam bersetuju, maka Malaysia selepas ini akan dikenali sebagai negara yang paling liberal di muka bumi ini.

Tak apalah, lagipun orang Melayu di negara inilah yang sering dituduh paling rasis, paling perkauman. Orang lain tak begitu. Mereka baik. Mereka tidak pandang kaum.

Orang Melayu amat dibenci di negara ini, adakah kerana orang Melayulah yang paling banyak menguasai jawatan-jawatan penting di syarikat-syarikat milik bukan Melayu di negara ini? Atau juga kerana orang Melayulah yang menguasai kesemua gedung perniagaan di negara ini?

Adakah orang Melayu juga yang menguasai rantaian pengedaran barangan (supply chain) di negara ini? Adakah orang Melayu yang menguasai kartel dan monopoli perniagaan di negara ini? Kaum lain tak boleh masuk, kerana jika mereka masuk maka samseng-samseng akan digunakan untuk menghapuskan perniagaan mereka.

Pendek kata Melayulah yang menguasai kekayaan di negara ini. Maka itu, tidak timbul untuk mereka tidak bersetuju untuk menerima cadangan-cadangan di atas itu kerana mereka sudah senang dan mewah. Namun, adakah itu hakikatnya?

Jika bangsa Melayu masih menjadi bangsa yang asyik meminta-minta itu dan ini untuk hidup, apakah mereka sudah bersedia menerima kesemua tuntutan itu?

Yang pasti kekalutan kaum di negara ini semakin gawat. Sudah ramai orang sudah berani kurang ajar di negara ini. Yang hairannya mereka bebas bercakap apa sahaja.

Secara peribadi, saya cukup-cukup bimbang dengan perkembangan ini.

Atau mungkin orang Melayu sudah tidak peduli lagi, kerana bimbang akan dicap rasis?



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment