Dalam perasmian Persidangan Antarabangsa Gerakan
Kesederhanaan Global atau International Conference on Global Movement of
Moderates (ICGMM) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 17-19 Januari 2012,
Dato' Sri Najib telah mengumumkan penubuhan Yayasan Gerakan Kesederhanaan
Global atau Global Movement of Moderates Foundation (GMMF).
Secara dasarnya, GMMF menyeru negara anggota
agar mengamalkan kesederhanaan serta menolak dan mengecam pelampau di negara
masing-masing.
Yayasan ini diterajui oleh Dato’ Saifuddin
Abdullah sebagai Ketua Eksekutif GMM, yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi
UMNO.
Sejak dari awal perlantikannya lagi Saifuddin
telah memperlihatkan sikap ‘tidak senang’ dengan NGO yang mewakili orang-orang
Melayu, iaitu PERKASA. Saifuddin
langsung tidak berselindung dalam menggambarkan pendapatnya terhadap NGO itu
yang dianggapnya ekstrem.
Dalam kenyataan akhbarnya sempena penubuhan GMM
pada September 12, 2012, beliau mengingatkan PERKASA bahawa tiada pihak yang
boleh mendapat 100% apa yang mereka mahukan di negara ini. Saifuddin juga mengigatkan PERKASA
bahawa NGO itu tidak mewakili pendapat majoriti rakyat. Perjuangan PERKASA untuk memartabatkan
bangsa Melayu dikatakan tidak menepati slogan kesederhanaan.
Namun, di masa yang sama Saifuddin secara tidak
langsung menyokong pihak ekstremis Cina Dong Zong, dengan menyatakan bahawa
pintu rundingan masih terbuka mengenai Dasar Pendidikan Nasional. Saifuddin langsung tidak mengecam Dong
Zong yang berdegil ingin memisahkan kaum Cina dari aspirasi negara. Saifuddin juga tidak menganggap Dong
Zong ekstrem walaupun jelas pertubuhan itu ingin mengukuhkan keCinaan bangsanya
yang mana amat bertentangan dengan slogan kesederhanaan.
Benar, bahawa PERKASA tidak mewakili majoriti
rakyat tetapi Dong Zong pula jelas mewakili hanya segelintir rakyat. Justeru, adalah tidak wajar bagi GMM
untuk mengambil sikap berpihak dalam menyatakan pendapat. Apatah lagi memilih untuk berpihak
kepada minoriti yang kecil.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa Saifuddin
atau GMM, PERKASA, Dong Zong, dan mungkin juga sekalian rakyat atau pemimpin
negara ini mempunyai tafsiran yang berbeza-beza mengenai ‘moderation’
(kesederhanaan). Kita yakin, ramai yang keliru antara ‘sederhana’ dengan
‘kebebasan’, dan
kemudiannya keliru pula antara ‘kebebasan’ dengan ‘kebebasan total’.
Baru-baru ini pula, Saifuddin atau GMM memilih
untuk menyokong COMANGO serta mengecam tindakan mengharamkan gabungan
itu. Ini adalah bukti
bahawa tafsiran Saifuddin/GMM mengenai ‘kesederhanaan’ adalah berbeza dengan
tafsiran majoriti rakyat negara ini.
Ini tidak mengejutkan kerana antara personaliti
yang menerajui GMM ialah Datuk Seri Wong Chun Wai, CEO akhbar The Star yang
giat menikam belakang UMNO.
Selain GMM, Suhakam dan Majlis Konsultansi
Perpaduan Negara (MKPN) juga dilihat menyokong COMANGO atas alasan
‘kesederhanaan’. Menurut
semua pihak ini, pengharaman COMANGO adalah keterlaluan dan tidak menepati
slogan kesederhanaan Perdana Menteri dan juga perjuangan hak asasi manusia.
Bagi GMM, COMANGO, MKPN dan juga SUHAKAM serta
rangkaian pembangkang iaitu SUARAM atau BERSIH, ‘kesederhanaan (moderation)’
tidak mungkin dapat dilaksanakan secara tuntas selagi negara ini berpaksikan
kepada agama Islam dan bersandarkan kepada perlembagaan yang dikuncikan dengan
Hak Istimewa Melayu.
Bagi majoriti rakyat, dan akar umbi UMNO sendiri
yang menjadi tunjang kerajaan pula, ‘kesederhanaan (moderation)’ adalah memberi
ruang kepada semua bangsa dan agama untuk mengamalkan budaya dan ibadah masing-masing
tanpa sekatan di samping meletakkan Islam di tempat teratas sejajar dengan
perlembagaan negara. Dalam kata lain, tidak diubah apa-apa mengenai
perlembagaan dan undang-undang negara.
Untuk membuat keputusan mengenai pendapat siapa
yang perlu diikut atau pendirian siapa yang benar dan tepat mengenai apa itu
‘bersederhana’ tentulah sukar dan hampir mustahil.
Pastinya, pihak yang bersama GMM merasakan
pendirian mereka tepat dan penentang mereka adalah kolot, ketinggalan atau
bodoh.
Manakala pihak majoriti Melayu Islam di negara
ini pula merasakan pendirian merekalah yang tepat dan penentang mereka sebagai
jahil, sesat atau kafir.
Justeru, inilah ditekankan agar pihak kerajaan
memberi tafsiran yang tepat mengenai apa itu ‘kesederhanaan’ yang dilaungkan
dan ke mana arah tujuan negara ini? Apakah
kerajaan benar-benar ingin mengubah struktur sosial dan identiti
negara? Apakah
Malaysia sedang menuju ke liberalisasi dan tidak lagi ingin berpegang kepada
agama Islam sebagai agama rasmi?
Sementara itu, inilah juga diingatkan bahawa
perkara utama yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan hala tuju negara
ialah, keamanan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.
Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa
perlembagaan negara yang bertunjangkan agama Islam dan Hak Istimewa Bumiputera
telah memperlihatkan kejayaan yang besar. Kita pernah dinobatkan sebagai Harimau
Asia dengan bersandarkan kepada perlembagaan yang sama. Hak Istimewa Bumiputera juga membantu
kita mengatasi ancaman ekstremis Cina sepertimana yang berlaku pada 13 Mei
1969.
Malah, perlembagaan yang sama juga yang memberi
peluang kaum Cina untuk menguasai ekonomi negara ini.
Penganut agama lain tidak pernah dihalang untuk
beribadah, malah setiap perayaan mereka juga diiktiraf sebagai cuti umum yang
mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara lain di dunia. Mereka juga diberi hak untuk mencetak
dan mengedar akhbar dalam bahasa masing-masing serta mempunyai sekolah
berasingan, yang mana tidak mungkin dapat dinikmati oleh minoriti di negara
lain di dunia.
Jelas, tidak ada kepincangan dalam kesederhanaan
yang kita amalkan malah terlebih-lebih pula. Malaysia sudah cukup sederhana dan
kesederhanaan itulah yang meletakkan kita di mana kita berada pada hari
ini.
Bagi yang melihat ‘kesederhanaan’ diamalkan
Malaysia belum lengkap atau tidak tepat, kita ingin bertanya, apakah wajar kita
memperjudikan kehidupan yang baik ini untuk mencuba ‘kesederhanaan’ mengikut
tafsiran mereka?
Berbaloikah kita mengambil risiko membuat
perubahan bagi memuaskan hati segelintir dari kumpulan
minoriti? Ingatlah, bahawa Kristian hanya mewakili 9% dari rakyat,
dan dari jumlah itu pula tidak semuanya menyokong tuntutan menggunakan nama
‘Allah’ dalam Injil berbahasa Melayu. Dan
golongan yang mengamalkan LGBT pula tidak mungkin melebihi 5% pun.
Berapa ramai pula yang ingin sangat untuk
murtad? Sepuluh? Dua puluh orang?
Wajarkah kita menggadaikan keamanan negara bagi
memuaskan hati segelintir manusia ini? Bukankah Saifuddin, sebagai Ketua
Eksekutif GMM sendiri menyatakan bahawa kita tidak boleh menunaikan 100%
kehendak satu-satu golongan itu dan tidak semua orang akan 100% berpuas
hati?
Minoriti telah mendapat kuasa ekonomi dan
majoriti mendapat kuasa politik yang menentukan identiti negara
ini. Sebarang ‘pengurangan’ kuasa ke atas mana-mana sektor wajarlah
berlaku secara seimbang. Jika
satu pihak membolot kedua-dua kuasa maka ia akan bermakna kehancuran pihak yang
lagi satu.
‘Kesederhanaan’ yang kita amalkan merupakan
formula terbaik untuk negara ini. Biarpun
majoriti menentukan hala tuju dan identiti negara tetapi selagi minoriti dapat
hidup sejahtera, malah mewah pula, maka kita sebenarnya tidak punya masalah
apa-apa.
Jika tiada masalah, kenapa perlu dicari
masalah?
Hakikatnya, kesederhanaan yang kita amalkan
adala tepat dan GMM sendiri wajib mencerna hakikat ini
sebaik-baiknya.
No comments:
Post a Comment