KL CHRONICLE: @madiazmadi : Setiap Bulan Rakyat #Malaysia Menyumbang Kenaikan Hutang Negara #KLChronicle

Monday, January 27, 2014

@madiazmadi : Setiap Bulan Rakyat #Malaysia Menyumbang Kenaikan Hutang Negara #KLChronicle

Tidak dinafikan hutang negara berada di paras yang tinggi ketika ini. Namun masih ramai yang tidak mengetahui atau tidak memahami permasalahan sebenar disebalik dua perkataan ini, “hutang negara”.



Terdapat banyak cakap-cakap yang menyatakan negara akan bankrap jika kerajaan tidak mampu mengawal kadar hutang negara. Saya bersetuju dengan dakwaan ini. Benar, jika hutang negara begitu tinggi, risiko negara untuk menjadi sebuah negara bankrap ada kemungkinannya.

Walaupun begitu, melihat senario hutang negara ketika ini, untuk menyatakan negara mungkin menjadi bankrap adalah sangat tidak tepat. Ini kerana ramai tidak memahami atau tidak mengambil kira penjelasan yang diberikan kerajaan.

Hutang negara merangkumi hutang dalam negara serta hutang luar negara. Untuk rekod sehingga September 2013, hutang negara adalah RM529.2 billion atau 53.6% dari KDNK negara. Dari jumlah ini, RM512.3 billion adalah hutang dalam negara manakala RM16.9 billion adalah hutang luar negara.

Untuk memahami lebih lanjut, lebih baik kiranya kita memahami terlebih dahulu hutang luar negara. Hutang luar negara adalah hutang berbentuk pinjaman sama ada untuk membiayai projek mahupun pinjaman dari pembelian asset untuk negara.

Hutang luar negara ini yang mungkin membankrapkan negara atau negara mungkin terpaksa dikawal oleh negara asing. Melihatkan peratusan yang rendah iaitu hanya 3.2% dari keseluruhan tanggungan hutang negara, adalah mustahil negara ini akan jatuh atau dikawal oleh negara asing.

Namun begitu, tidak semua dari hutang ini dibayar melalui pertukaran wang tunai. Terdapat juga beberapa perjanjian yang dijalankan antara negara Malaysia dan negara lain tidak memerlukan sepenuhnya pembiayaan melalui pertukaran wang.

Sebagai contoh, ketika Malaysia membeli 18 buah jet pejuang Sukhoi buatan Rusia untuk kegunaan TUDM, pembiayaan yang digunakan adalah melalui pertukaran minyak sawit mentah dengan 18 buah jet pejuang tersebut. Tambahan lagi, pihak kerajaan Rusia juga turut membiayai latihan untuk angkasawan pertama negara melalui perjanjian yang dimeterai ini.

Berbalik semula kepada hutang dalam negara. Ramai tidak menyedari setiap bulan majoriti rakyat Malaysia menyumbangkan kepada kenaikan hutang dalam negara.

Jika tidak percaya, sila lihat penyata gaji anda setiap bulan. Pasti adanya penolakan gaji anda untuk caruman KWSP. Ramai tidak menyedari, KWSP adalah penyumbang utama kepada hutang negara.

Jika benar dakwaan negara semakin hampir kepada bankrap, pernahkah terdapat masalah KWSP tidak mampu membayar simpanan rakyat pada usia 50 tahun? Tiada!

Selain itu juga, ramai dari kalangan rakyat tidak mengetahui ASB serta pelbagai lagi jenis amanah saham dari PNB turut menjadi penyumbang utama kepada hutang dalam negara.

Sekali lagi tanya pada diri, adakah ASB tidak menguntungkan serta tidak memberi pulangan kepada pemegang akaun? Untuk tahun 2013 sahaja, dividen yang diberi kepada pemegang akaun ASB adalah 8.7%. Ianya boleh dianggap pulangan yang tinggi bagi sesuatu bon kerajaan.

Ramai yang tidak mengetahui wang rakyat yang dicarum melalui KWSP dan amanah saham (ASB, ASN, AS1M, ASW, AHM dan lain-lain) adalah berbentuk pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Pinjaman inilah yang digunakan kerajaan bagi membiayai pembangunan serta projek-projek kerajaan. Seperti yang dikatakan tadi, tiada masalah yang dihadapi kerajaan untuk membuat bayaran balik kepada rakyat. KWSP misalannya, apabila pencarum berumur 50 tahun, mereka boleh terus mengeluarkan simpanan mereka.

Begitu juga dengan ASB. Apabila pemegang akaun hendak mengambil keuntungan yang diterima, tanpa masalah mereka boleh mengeluarkan wang tersebut.

Kombinasi antara KWSP dan amanah saham melalui PNB ini merangkumi lebih 70% keseluruhan hutang dalam negara. Kita perlu faham, KWSP dan ASB atau ASN mempunyai kecairan yang tinggi maka adalah mustahil jika kita mendakwa negara menghampiri kepada bankrap.

Kepada rakyat Malaysia, diharap penjelasan di sini mampu menjawab tuduhan serta dakwaan yang dibuat beberapa pihak kononnya Malaysia gagal mengawal hutang negara serta negara mampu menjadi bankrap dan berkemungkinan besar dikawal negara asing.

Jika anda tidak percaya penulisan di sini, terpulang kepada anda. Teruslah mempercayai penipuan, dan teruslah hidup dalam penipuan. Akhir kata, berkatalah benar, walaupun ia pahit. – 26 Januari, 2014.

* Mohamed Azmadi merupakan AJK Biro Kualiti Hidup Pemuda Umno Malaysia dan Pengerusi Biro Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara. Beliau boleh dihubungi melalui Twitter di @madiazmadi.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget