KL CHRONICLE: Lagi RM 20 Juta Untuk Rakyat #Malaysia @NajibRazak #KLChronicle

Sunday, January 26, 2014

Lagi RM 20 Juta Untuk Rakyat #Malaysia @NajibRazak #KLChronicle




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan dana tambahan berjumlah RM20 juta kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk melaksana stok penimbal bagi menstabilkan harga barang.




Beliau berkata kerajaan meluluskan dana tambahan RM8 juta kepada Fama dan RM12 juta kepada Nekmat untuk membuat belian terus daripada petani tempatan dan mengimport dari luar negara untuk mewujudkan stok penimbal.

"Kalau harga naik, Fama boleh bertindak dan menjual barang makanan ini di pasar-pasar tani di seluruh negara untuk menstabilkan harga barang makanan. Nekmat juga akan melakukan konsep yang sama.

"Dengan cara ini, saya percaya pengguna ada alternatif," katanya dalam sidang media selepas meninjau harga barangan di Pasar Tani Putrajaya di Presint 2 di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertanaian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahateraan Bandar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Fama Tan Sri Badruddin Amiruldin. Pada masa ini, terdapat 517 pasar tani dengan 25,000 usahawan di seluruh negara.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ia merupakan inisiatif kerajaan untuk menangani masalah kos saraan hidup yang dikatakan meningkat.

Semasa ditanya jika dana itu habis dalam tempoh sigkat, beliau berkata: "Peruntukan ini boleh ditambah kemudian."

Sementara itu, Najib berharap rakyat menjadi pengguna bijak dalam berbelanja harian.

"Saya juga berharap rakyat akan memilih tempat yang menawarkan harga yang berpatutan atau lebih rendah daripada tempat lain," katanya.

Sebelum itu, Najib meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk meninjau harga barangan di Pasar Tani Putrajaya serta beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung.

Sementara itu, kerajaan menetapkan 17 produk bagi pelaksanaan stok penimbal yang merangkumi sembilan jenis sayuran iaitu kobis, tomato, cili merah, bawang besar, kelapa, lobak merah, halia, kentang dan bawang kecil ros (India) serta lapan jenis ikan iaitu cencaru, pelaling, kembong, selar, selayang, kerisi, tongkol dan siakap.

Ismail Sabri berkata ia merupakan program jangka panjang untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga mendadak khususnya ketika musim perayaan dan musim tengkujuh pada penghujung tahun.

"Komoditi utama ini dipilih kerana ia paling banyak penggunaannya, sangat sensitif kepada perubahan bekalan, mempunyai alternatif untuk diimport dan boleh disimpan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget