Ahad lalu, Anwar Ibrahim telah membuat perutusan khas mengajak Barisan Nasional duduk semeja, berbincang mengenai cara untuk menangani masalah perkauman yang kian meruncing. Dalam kenyataan itu, Anwar kelihatan cuba meyakinkan rakyat bahawa apa yang dikatakan sebagai ‘ancaman’ ke atas agama Islam adalah tidak benar dan bahawa ada usaha untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian juga adalah tidak benar
.
Dari kenyataan tersebut, jelas terlihat bahawa Anwar bercakap bagi pihak DAP yang kini terjerat dalam permainan perkauman yang dimulakan sendiri. Malah, kenyataan Anwar hanyalah ulangan dari apa yang dicadangkan Lim Kit Siang yang akhir-akhir ini begitu galak mengajak BN duduk semeja di sebuah sidang kemuncak untuk memastikan 13 Mei tidak berulang.
Apa yang pasti, masalah polarisasi kaum di negara ini kian meruncing sejak tercetusnya isu Kalimah Allah. Keengganan pihak Kristian untuk menerima keputusan mahkamah dan memutarbelit ‘10 Penyelesaian’ menjadikan keadaan semakin panas sehingga membawa kepada insiden ‘molotov cocktail’ di Pulau Pinang.
Tindakan pihak Kristian mengheret Sabah dan Sarawak ke dalam isu ini pula membuktikan bahawa adanya tangan pembangkang atau lebih tepat DAP, yang mencatur strategi untuk merampas kedua negeri itu dari tangan BN melalui isu ini. Sekali gus membuktikan betapa DAP atau pembangkang itu adalah parti yang amat tidak bertanggungjawab kerana sanggup menimbulkan ketegangan, memperjudikan keamanan dan nyawa rakyat semata-mata untuk berkuasa.
Apabila isu kebiadapan pemimpin PKR dalam isu kangkung meletup dan DAP menjadi sasaran, maka pembangkang mula tersedar bahawa isu Kalimah Allah telah memakan diri mereka kembali. Orang-orang Melayu semakin curiga terhadap pembangkang, sekali gus memusuhi DAP yang dilihat sebagai dalang menghasut kebencian terhadap Melayu-Islam. Oleh itu, biarpun kangkung tiada kena mengena dengan kaum atau agama, tetapi ia telah dijadikan sebab untuk bertindak balas terhadap DAP.
Perkembangan terkini mengenai guru dan penyanyi mualaf dipaksa buka tudung dan kes guru Cina memaksa murid Melayu memakan rumput melonjakkan lagi kemarahan orang-orang Melayu terhadap DAP. Semua ini dilihat sebagai hasil dari keangkuhan dan kesungguhan DAP menyemai kebencian di kalangan orang-orang Cina agar tidak menghormati orang Melayu serta undang-undang negara.
Bagaimanapun, laungan 13 Mei oleh orang-orang Melayu ternyata membuatkan pembangkang, terutamanya DAP, tersentak. Sehubungan dengan itu, pembangkang terpaksa membelok tajam mencari jalan untuk memperbaiki kerosakan. Lalu dari situlah laungan mengajak kepada perbincangan dan kerjasama dengan BN pula kedengaran. Kononnya, pembangkang prihatin dan risau dengan keadaan yang semakin meruncing dan ingin sama-sama mencari penyelesaian bagi memastikan keamanan.
Sekali imbas, cadangan pembangkang ini tampak begitu murni sekali. Malangnya, ia tidak mungkin dapat direalisasikan kerana yang menjadi masalah dan punca masalah di sini ialah pembangkang itu sendiri.
Pembangkang telah keterlaluan membuat provokasi kononnya UMNO parti rasis, hanya kerana parti itu mempertahankan perlembagaan dan memperjuangkan perpaduan yang sebenar. Penyokong pembangkang dari DAP pula tidak henti-henti mencabar dan menghina agama Islam. Pembangkang juga langsung tidak menghormati Sultan dan juga YDP Agong serta engkar dengan titah perintah baginda. Pembangkang sering menolak keputusan mahkamah serta enggan patuh pada undang-undang, hatta membela penjenayah.
Pendek kata, jika benar inginkan keamanan, maka pembangkang haruslah bersikap lebih matang dengan bergerak atas isu rakyat dan pembangunan negara, bukannya cuba melakukan huru-hara, menerapkan sikap prejudis antara kaum, menukar sejarah, mengubah perlembagaan serta cuba membuang identiti Malaysia.
Kesimpulannya, perbincangan antara BN-PR bukanlah satu keperluan. Apa yang perlu bagi memastikan keamanan ialah agar pembangkang berhenti menjadi masalah kepada negara.
Sesungguhnya, jika pembangkang lebih bertanggungjawab, maka masalah polarisasi kaum mahupun ancaman berulangnya 13 Mei tidak akan timbul sama sekali.
No comments:
Post a Comment