Pemilihan kepemimpinan Umno pasca-Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) telah berlalu. Hasilnya bolehlah disimpulkan sebagai pengekalan pasukan Presiden.
Ia baik bagi Mohd Najib Abdul Razak, konco-konco dan pemuja beliau. Sama ada ia baik bagi Umno, hanya masa akan menentukan.
Yang pasti, cakap-cakap akan mengubah atau menyingkirkan Mohd Najib dari dalam sudah terkubur. Sekali lagi, juara main selamat politik Umno selamat dan sejahtera.
Kini tiba pula giliran PAS memilih kepemimpinan baru. Sejak awal jelas bahawa demokrasi lebih menyerlah dalam parti itu berbanding Umno.
Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipilih oleh akar umbi. Mereka sekadar disahkan oleh Majlis Tertinggi. Jadi legitimasi atau kesahan mereka terhad kepada “endorsement” MT sahaja.
Abdul Hadi kekal Presiden tanpa bertanding
Bagi PAS, hanya jawatan Presiden tidak dicabar. Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden. Jawatan timbalan presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu mungkin menyaksikan pertandingan.
Menurut laporan, selain Mohamad, empat orang lain telah dicalonkan dan layak bertanding. Mereka adalah dua Naib Presiden, iaitu Husam Musa dan Salahudin Ayub, Ketua Penerangan Pusat Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Mohd Amar Nik Abdullah.
Mohamad dilaporkan telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan. Salahudin pula dilaporkan akan bertanding mempertahankan kerusi Naib Presiden saja. Setakat ini, Husam, Tuan Ibrahim dan Mohd Amar belum memberi kata putus.
Ramalan media menjurus ke arah pertembungan dua Mohamad – Mohamad Sabu dan Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, walaupun yang mendapat paling banyak pencalonan ialah Tuan Ibrahim.
Mohd Amar bakal pencabar
Kalau berlaku pertembungan antara Mohamad dengan Mohd Amar pada Muktamar 22-24 November ini maka ia akan menyaksikan perlawanan antara kumpulan ulama dan bukan ulama. Mohamad mewakili bukan ulama manakala Mohd Amar mewakili kelompok ulama.
Pertandingan Mohamad lawan Mohd Amar, sekiranya berlaku, sangat menarik. Ia akan merupakan ulang tayang pemilihan 2011, tetapi dengan satu perbezaan.
Pada tahun 2011, Mohamad mencabar penyandang, Nasharuddin Md Isa yang berupa ulama pelapis PAS. Mohamad menang. Dua faktor membawa tuah kepada Mohamad. Pertama, perebutan pengaruh di kalangan kepemimpinan ulama dan kedua, kemunculan golongan bukan ulama yang diberi gelaran “Erdogan”.
Saya menulis sebuah rencana dalam blog ini pada 5 Jun, 2011 bertajuk“Implikasi Pemilihan Golongan Liberal Terhadap Pas”.
Apakah kali ini giliran golongan ulama pula menguasai kepemimpinan dan agenda parti setelah kepemimpinan bukan ulama yang dikepalai oleh Mohamad gagal membawa kecemerlangan kepada PAS dalam PRU lalu?
Lebih-lebih lagilah apabila Mohamad sendiri gagal mempertahankan kerusi Dewan Rakyat Pendang yang berupa kubu PAS di Kedah.
Dolak-dalik yang merugikan
Dolak-dalik kepemimpinan PAS ketika PRU mengenai ideologi dan agenda pokok parti itu seperti negara Islam, hukum hudud dan kalimah Allah bukan sekadar memberi peluru kepada Umno membelasahnya, malah menyebabkan ramai ahli dan penyokong PAS tawar hati.
Realiti paling getir yang terpaksa dihadapi dan diakui oleh kepemimpinan PAS dalam muktamar mereka adalah prestasi buruk parti itu dalam PRU 5 Mei.
Berbeza dengan Umno yang menang lebih banyak kerusi dan kekal sebagai parti induk BN, PAS muncul sebagai komponen Pakatan Rakyat paling lemah. Tsunami Cina yang melanda BN tidak pula membantu melonjakkan PAS.
Jadi, tidaklah menghairankan kalau PAS mahu mengkaji semula peranannya dalam PR. Tetapi sekiranya Nik Abdul Aziz Nik Mat masih berpengaruh seperti dahulu, kajian itu tidak akan membawa kepada PAS meninggalkan PR.
Mursyidul Am PAS itu dilaporkan sebagai berkata bahawa beliau amat bersetuju kajian dibuat untuk penambahbaikan penyertaan PAS dalam PR dan bukan untuk mengundur ke belakang.
Di pihak yang lain pula, PAS tidak boleh menolak bulat-bulat cakap-cakap mengenai perpaduan Melayu-Islam, khususnya yang membabitkan Umno. Sebagai dua parti Melayu-Islam, Umno dan PAS terpaksa mengakui bahawa perpaduan dan persaudaraan Islam adalah tuntutan agama.
Cabaran kepada Melayu-Islam
Kesimpulannya, muktamar dan pemilihan kepemimpinan PAS kali ini menentukan bentuk kepemimpinan, dasar dan rancangan PAS dalam jangka masa sederhana dan panjang, terutama dalam usaha menebus kekalahannya pada PRU 5 Mei lalu.
Tempoh antara sekarang hingga PRU ke-14 sangat kritikal bagi parti-parti Melayu-Islam menyegarkan semula kepemimpinan, dasar dan perjuangan mereka kerana demografi negara kini didominasi oleh generasi muda.
Generasi muda, tidak kira bangsa dan kaum, mempunyai selera dan aspirasi yang berbeza walaupun apa yang mereka idamkan itu tidak semestinya jelas dan koheren (teratur dan tersusun).
Keadaan ini ditambah burukkan oleh perubahan sikap dan ideologi parti-parti bukan Melayu selepas PRU lalu. Sama ada mereka menang besar atau kalah teruk, parti-parti itu nampaknya menjadi semakin perkauman dan cauvinis.
Ini tentunya menyukarkan usaha PAS dan Umno bekerjasama dengan mereka secara produktif dan lancar dalam apa-apa bentuk pakatan pilihan raya sekali pun. Wallahualam.– kadirjasin.blogspot.com, 4 November, 2013.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
1 comment:
Semua ideologi diterima masuk, hasilnya kecelaruan pendirian hinggakan yg melibatkan isu pokok aqidahpun pendirian berbeza beza dikalangan pimpinan.
Post a Comment