Gambar Hiasan |
Umum mengetahui pilihanraya kecil Dun Sungai Limau diadakan ekoran
kematian Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak ekoran derita penyakit kencing
manis yang ditanggungnya sejak sekian lama. Malah sepanjang tempoh kempen yang diadakan
juga, menyaksikan bagaimana Pas cuba mengeksploitasikan pengaruh Ustaz Azizan
bagi memastikan kerusi Sungai Limau kekal di tangan parti itu.
Di sekitar kawasan kempen juga, gambar Ustaz Pas dilihat lebih
banyak digantung berbanding calon parti itu sekali gus membuktikan Ustaz Azizan
begitu berpengaruh. Tambahan pula, rata-rata pengundi juga dikatakan mempunyai
hubungan keluarga dengan Ustaz Azizan, sehinggakan jentera parti itu terpaksa
menipu pengundi dengan membuat gambar superimpose antara calon
Pas dengan mantan Menteri Besar itu.
Namun disebabkan jarak Sungai Limau tidak begitu jauh dari dengan
kawasan jenazah Ustaz Azizan dikebumikan, beberapa petugas Umno telah mengambil
kesempatan untuk menziarahi kubur pemimpin Pas itu. Bukan kerana ingin
menyokong parti itu, tetapi kerana merasa hormat dengan pendekatan Ustaz Azizan
yang begitu mesra dan tidak berdendam dengan orang dan penyokong lawan.
Apa yang memeranjatkan, ketika menjejaki di kawasan pusara
tersebut keadaan yang dilihat amat menyedihkan. Dengan keadaan sekitar pusara
yang tidak terurus, kawasan perkuburan juga amat menyedihkan. Tambah
memeranjatkan, tiada sebarang pagar yang dipasang bagi mengelakkan haiwan
ternakan penduduk seperti lembu dan kerbau dari memasuki kawasan tersebut.
Benar, Islam mengharamkan sebarang hiasan atau binaan didirikan di
atas pusara, namun menjaga dan mengurus kawasan perkuburan seperti kebersihan,
pagar di sekeliling kawasan perkuburan bagi mengelakkan haiwan buas masuk dan
sebagainya adalah merupakan tuntutan syarak.
Tambah menyedihkan, apabila salah seorang pelajar di Muassasah
Darul Ulum mengatakan sejak dikebumikan kawasan tersebut kembali sepi. Selain
daripada ahli keluarga terdekat dan penduduk sekitar, tiada orang luar baik di
kalangan pengikut Pas sendiri yang datang untuk menziarah pusara Ustaz Azizan.
Sedangkan semasa hayatnya, beliau merupakan seorang pemimpin hebat
dan banyak menaburkan bakti dan jasa kepada parti dan perjuangan Islam. Mungkin
inilah resam kehidupan, semasa hidup dan berjawatan mereka disanjung, dipuji
dengan pelbagai gelaran dan kata-kata manis, namun apabila sudah meninggal
dunia, terbiar dan terus dilupakan.
Kesimpulannya, penggunaan gambar-gambar Ustaz Azizan hanyalah
untuk meraih undi dan simpati kononnya mereka begitu sayang kepada Allahyarham.
Namun secara realiti, Pas Kedah hanya menganggap bekas Menteri Besar sebagai
kain buruk yang tidak berguna lagi.
Apa pun marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allahyarham Ustaz
Azizan diampunkan segala dosa, di tempatkan bersama orang-orang yang dikasihi
dan mendapat keredaan Allah swt. Amin – Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment